Buku ini mengisahkan kesinambungan sejarah Melayu selepas keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka dan sejarah Kesultanan Johor-Riau serta memaparkan kisah tentang kebudayaan, ketinggian, dan kemakmuran perdagangan kerajaan Johor serta pengalaman penduduk di sekitar Gugusan Kepulauan Melayu sebelum dan sesudah kedatangan kuasa Eropah. Penulisan karya agung ini telah dimulakan oleh Raja Haji Ahmad dan diteruskan hingga selesai oleh anaknya Raja Ali Haji. Memandangkan kedudukan mereka yang istimewa dalam kalangan ahli istana sezaman, kedua-dua tokoh ini menggabungkan bakat dan pengalaman masing-masing untuk melahirkan satu sejarah bangsa Melayu yang unik.
Dari segi kronologi dan geografi, konsep sejarah The Precious Gift jauh lebih mendalam dan luas yang juga. membezakan buku ini daripada karya agung sejarah Melayu yang lain yang ditulis sebelumnya. Konsep dan skop The Precious Gift menggunakan perancangan teknik dan penyapaian naratif yang teliti menggunakan falsafah, dan kaedah historiografi Raja Ali Haji yang memperlihatkan sintesis baru antara kebudayaan Melayu dengan kesarjanaan Islam. The Precious Gift dikatakan karya agung kerana gaya bahasa dan isinya mudah dibaca, dan membawa kesan bahawa pembaca asyik mengikuti naratifnya.
Sumbangan Raja Ali Haji kepada tradisi intelektual Melayu luar biasa. Pendekatannya terhadap pekerjaannya sangat professional sehinggakan saat ini enam buah manuskrip Tuhfat al-Nafis telah ditemui, disalin semula dengan tulisan tangan. Virginia Matheson Hooker menyebut karya Raja Ali Haji ini sebagai “babad sejarah agung” dan “catatan abadi” tentang Kerajaan Johor-Riau. Menurut Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid, tidaklah sempurna bagi seorang sejarawan yang menulis sejarah negeri-negeri Melayu, terutama Johor, Riau, dan Selangor, jika tidak merujuk pada karya ini.
The Precious Gift merupakan penerbitan kedua dalam senarai Siri Karya Agung Melayu terbitan ITBM selepas penerbitan The Epic of Hang Tuah pada tahun 2011. Penerbitan buku ini antara lain membuka ruang untuk mengkaji dan menyebarkan tamadun yang pernah dicapai dalam catatan sastera agar masyarakat dunia mengenali sejarah Melayu lama.