Latar Belakang

arrow_right_alt

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang ditubuhkan pada 14 September 1993 memainkan peranan penting sebagai peneraju industri terjemahan dan perbukuan di Malaysia. Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), ITBM berada bawah seliaan pentadbiran oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

arrow_right_alt

Penubuhan ITBM ialah hasil visi strategik untuk mengukuhkan prasarana industri terjemahan negara. Sejak penubuhannya, ITBM telah memikul tanggungjawab besar dalam pengendalian pelbagai aspek berkaitan dengan terjemahan, kejurubahasaan, serta pemindahan ilmu melalui aktiviti penerbitan buku pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

arrow_right_alt

ITBM turut berperanan aktif dalam usaha memperkasakan industri perbukuan Malaysia dengan menerbitkan karya asli penulis tempatan, sekali gus menyemarakkan kreativiti dan literasi dalam negara. Objektif dan fungsi utama ITBM berlandaskan Memorandum dan Tataurusan Syarikat yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat, mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965.

arrow_right_alt

Dengan komitmen yang teguh terhadap kecemerlangan, ITBM terus komited mengangkat nama Malaysia di persada global dalam bidang terjemahan dan penerbitan.