Buku ini merupakan hasil penyelidikan pelajar-pelajar Sarjana Pengajian Melayu tahun akhir sesi 2016/17 di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) selama setahun dalam bidang Pengajian Melayu, yang merangkumi bahasa, sastera dan budaya. Penyelidikan yang dijalankan oleh para pelajar ini merupakan kajian bagi memenuhi kerja-kerja kursus atau kertas projek sepanjang pengajian mereka di APM.
Setiap hasil penyelidikan mereka dibentangkan terlebih dahulu dalam kelas sarjana yang diadakan pada setiap hari Sabtu selama lima jam. Kelas sarjana ini berlangsung selama 14 minggu berturut-turut. Dalam kelas ini, para pelajar mengadakan perbincangan, pembentangan dan pembaikan dari semasa ke semasa bersama pensyarah kursus dan rakan sepengajian. Akhirnya, kajian mereka ini dibentangkan dalam seminar besar yang dianjurkan oleh Bahagian Ijazah Tinggi, APM.