Buku

Sabah Dalam Persekutuan Malaysia MA63 Sebagai Kontrak Sosial

Penulis: Armizan Mohd Ali

ISBN: 9789674608590

Tahun Terbit: 2020

Harga: RM 30.00 / 35.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Umum

Beli Dalam Talian:

Shopee Lazada

Buku ini menyentuh berhubung kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia dengan memberikan fokus kepada signifikasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai kontrak sosial. Isu berkaitan hak, kepentingan dan kedudukan Sabah dalam Malaysia terus menjadi antara perkara utama yang mendominasi diskusi berkaitan hubungan di antara negeri dan persekutuan. Wacana konstruktif berkaitan perkara ini perlu diperbanyakkan untuk memastikan diskusi berpandukan kepada konteks dan fakta yang tepat. Buku ini melihat proses pembentukan Malaysia dari perspektif teori Kontrak Sosial dengan mengenal pasti elemen-elemen utama dalam teori tersebut yang relevan dalam melihat proses pembentukan Malaysia. Analisis akan dimulakan dengan melihat kepada proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu diterima dan diiktiraf umum sebagai berlandaskan kepada kontrak sosial di antara tiga kaum utama; Melayu, Cina dan India. Elemen-elemen penting yang sama yang telah merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Berbeza dengan kontrak sosial versi 1957 yang melibatkan aktor “antara kaum”, kontrak sosial ini telah diperkukuhkan dengan versi 1963 merangkumi faktor “antara wilayah”. Teras kepada kontrak sosial versi 1963 adalah ikatan perjanjian melalui MA63.

Maka, dalam konteks Malaysia hari ini, kontrak sosial seharusnya difahami dan diterima dalam kedua-dua premis tersebut. Perjuangan berhubung hak dan kepentingan Sabah tidak seharusnya dilihat satu hala atau bersifat state-centric, namun diiktiraf sebagai agenda nasional dalam membina masa depan Persekutuan Malaysia yang lebih sejahtera.