Buku ini memerihalkan mengenai peranan dan pengaruh visual sebagai salah satu saluran yang berkesan untuk penyebaran mesej propaganda, sewaktu pendudukan Jepun di Malaya dari tahun 1942 hingga 1945. Perkembangan, sejarah serta kronologi propaganda dihuraikan dengan mendasar, sebermula daripada awal istilah propaganda mulai digunakan, sehingga ke era Perang Dunia Kedua.
Analisis terhadap propaganda visual yang diketengahkan dalam bentuk lukisan, poster, risalah dan juga gambar foto dikupas dengan terperinci, komprehensif dan menyeluruh dari sudut pandang simbolik, retorik serta radikal. Tema-tema indoktrinal yang dianjurkan oleh Kerajaan Dai Nippon seperti polisi “order baru”, “kempen menanam tanaman sendiri”; serta “tanggungjawab menjaga tanah air”, yang dituangkan mesejnya dalam bentuk visual, turut tidak terlepas menjadi bahan perbincangan.
Di samping itu, peranan yang tidak kurang hebatnya yang dimainkan oleh propagandis visual, bagi menunjukkan adanya sokongan dan dukungan massa terhadap “penjajah”, “penakluk”, “pembebas” (dalam bahasa kolaborator) atau “tuan baharu” dari Timur ini.