Dalam buku Panas, Rata, Sesak, Thomas L. Friedman mencadangkan peluang meraih kemewahan yang perlu direbut oleh rakyat Amerika Syarikat (AS), iaitu dengan cara menyelamatkan alam sekitar. Sememangnya semua karya Friedman sentiasa menyegarkan minda dengan pelbagai lontaran idea supaya diambil manfaat oleh pembaca.
Yang menarik, Friedman menggabungkan tiga topik berlainan untuk memberikan satu kesimpulan dan kesedaran untuk melindungi alam yang kita duduki. “Panas” merujuk kepada situasi pemanasan global, “Rata” digambarkan dengan dunia yang semakin mengecil dan rata ekoran kemajuan pengangkutan dan Internet, dan “Sesak” bermaksud populasi dunia yang semakin bertambah. Melihat pada judulnya, secara automatik dapat menggambarkan isi kandungannya yang membincangkan isu sains dan politik sumber tenaga.
Buku ini sudah tentunya ada kaitan dengan karya Friedman sebelum ini, Dunia Sama Rata (ITNM, 2010). Friedman dalam buku itu mengomong berkenaan globalisasi yang menyatakan pertambahan populasi dan kemunculan “gergasi” baharu seperti India dan China akan membebankan sumber asli alam yang mempercepatkan lagi pemanasan global. Perkembangan ini menyebabkan Friedman bermonolog sendiri dalam bab keempat buku terbaharunya, “Can Red China Become Green China?” yang merupakan inti pati penting buku ini.