Daripada anak yatim piatu yang terpulau di Terengganu, dia dibawa belayar jauh menyeberangi Laut China Selatan sampai ke Yunnan. Daripada bernama Awang Tepoh, dia menjadi Dampo. Baru sahaja berpeluang mengecap nikmat kebahagiaan hidup, dia menjadi tawanan yang digelut kesengsaraan. Dengan bekalan semangat yang kuat, susuk pun hebat, dia menjadi kepercayaan pemerintah, lalu menjadi sebahagian wira dan kemudian pendamping tokoh pelayar ulung Dinasti Ming - Laksmana Zhen He.
Orang-Orang Perang menyusupkan sejarah benar Dinasti Ming ke dalam cereka, yang digarap dengan baik dan teliti oleh pengarang, dengan cara menghadirkan Dampo sebagai salah seorang penggerak kejayaan dinasti itu. Peristiwa rampasan kuasa oleh Raja Zhu Di, pelayaran perdana Laksamana Zheng He, gejolak perebutan kuasa dan kehebatan Melaka di Nusantara, seeta kebijaksanaan Hui mendepani sepak terajang permainan politik Han dipaparkan dengan bijaksana oleh pengarang melalui keterlibatan Dampo. Novel ini ada sejarahnya.