Buku

Nota Kaki Johan Jaaffar: 206 Rencana Dalam Utusan Malaysia

Penulis: Johan Jaaffar

ISBN: 9789670869148

Tahun Terbit: 2016

Harga: RM 62.00 / 67.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Sastera, Kumpulan Esei, Umum

Beli Dalam Talian:

Lazada

Johan Jaaffar menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu pada waktu yang sangat mencabar, bukan sahaja kepada Kumpulan Utusan Melayu, tetapi terhadap media massa keseluruhannya. Sebagai seorang yang “didatangkan” dari luar, cabaran ini tentulah lebih besar dan menuntut kesabaran serta kelicikan berinteraksi dengan orang dalam yang mempunyai pelbagai karenah dan gaya.

Saya secara tidak langsung terbabit dalam proses peralihan ini kerana sedikit sebanyak pandangan saya diminta. Tetapi pada waktu itu, Johan Jaaffar lebih berupa bayang-bayang kerana saya tidak begitu mengenalinya, selain melalui pembacaan dan pertemuan kasual. Namun, dia terbukti seorang editor yang sangat hebat dan rakan seperjuangan yang sentiasa simpatetik. Kehebatan bahasanya disertai dengan pembacaan yang sangat luas segera menjadikan karya-karya kewartawanannya unik, informatif dan diminati.

Terlalu banyak peristiwa yang berlaku sepanjang enam tahun beliau di situ - daripada pemilihan UMNO pada tahun 1993 yang memberi kemenangan kepada “Team Wawasan” kerancakan pasaran saham, krisis Perlembagaan membabitkan kekebalan raja-raja Melayu, isu membabitkan Pergerakan Pemuda UMNO, kegawatan ekonomi hinggalah penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri. Namun demikian, banyak juga peristiwa seni, budaya, kegiatan keilmuan dan permasalahan sosial yang perlu dirakamkan dan ini merupakan sesuatu yang biasa kepada Johan kerana dunia penulisannya berakarumbikan kesusasteraan dan kesenian.

Kolum “Nota Kaki” yang beliau mulakan pada bulan Mei 1994 lebih banyak menyingkap peristiwa “lain” yang sama menarik dan pentingnya pada zaman itu. Dia menulis secara bersahaja tetapi penuh dengan gaya dan input intelektual yang menampilkan ketokohan beliau sebagai karyawan dan wartawan. Pemerhatian beliau melalui 206 buah rencana yang dikumpulkannya dalam koleksi ini adalah bahan bacaan dan ilmu yang sangat berguna.
-Datuk Kadir Jasin
Bekas Ketua Pengarang New Straits Times

Saya menganggap tulisan Johan Jaaffar dalam koleksi ini sangat penting sebagai rakaman peristiwa sepanjang beliau menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Walaupun tumpuan tulisan ini lebih banyak kepada dunia seni budaya, perbukuan tradisi kesarjanaan dan hal-hal human interest tetapi ia sama pentingnya dengan peristiwa politik yang mencabar pada zaman itu. “Nota Kaki” menjadi bahan bacaan wajib para pembaca akhbar Utusan Malaysia selama empat tahun kerana ia ditulis secara menarik dan adakalanya penuh humor.

-Datuk Dr. Denison Jayasooria
Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia