Blog

Fiksyen Tentang Kuala Lumpur

Wilayahku_7-13_Ogos_2020

Fiksyen Tentang Kuala Lumpur
Oleh Anuar Manshor

(Tersiar di akhbar WilayahKu 7-13 Ogos 2020)

Tidak ada sesiapa tahu di mana terletaknya Pulau Belitung, Indonesia sehinggalah Andrea Hirata menghasilkan novel Laskar Pelangi yang membuat revolusi besar terhadap pulau yang berpopulasi kurang 300,000 orang itu.

Apakah istimewanya pulau tersebut sehinggakan AirAsia pun membuat penerbangan empat kali seminggu ke situ bermula Oktober 2019? Semuanya kerana Andrea Hirata menggarap keindahan alam dan pantai Belitung sehinggakan ia menggamit hati pembaca. Ditambah pula novel itu kemudiannya difilemkan yang turut dirakam di Pulau Belitung.

Begitu juga Sandokan: Lanun Malaysia (2010) terjemahan daripada Sandokan: The Pirates of Malaysia (1883) karya Emilio Salgari (asalnya I pirati della Malesia [bahasa Itali]) walaupun beliau tidak pernah menjejakkan kaki di Kepulauan Borneo, terutamanya Sarawak. Judul buku tersebut tercatat “Malaysia” walaupun negara kita menjadi “Malaysia” pada 16 September 1963.

Novel Salgari ini merupakan salah satu buku yang “wajib” dibaca oleh kanak-kanak di Itali, Sepanyol, Argentina dan beberapa negara lain. Baru-baru ini, semasa kunjungan penulis ke Pejabat Duta Besar Argentina ke Malaysia, TYT Manuel Balaguer Salas menyatakan rasa keterujaannya semasa dilantik menjadi Duta ke Malaysia. Ini kerana dia pernah membaca tentang Malaysia semasa di bangku sekolah melalui Sandokan.

Datang ke Kuala Lumpur Selepas Baca Novel?

Kuala Lumpur tumpuan mencari rezeki rakyat seantero Negara sejak ia diteroka dan dibuka oleh Raja Abdullah, Sutan Puasa, dan Yap Ah Loy. Duit, perniagaan, hubungan sesama bangsa dengan Kuala Lumpur berpisah tiada sehinggalah kini. Ia menjadi idea Sasterawan Negara Keris Mas menulis novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1982) yang turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris The Big Businessman From Kuala Lumpur (2011), bahasa Perancis (2011), dan Mandarin (2015).

Mengapa ITBM menterjemahkan novel tersebut ke tiga bahasa berlainan? Tujuannya dua; pertamanya bagi memperkenalkan resam atau gaya kehidupan orang di Ibu Kota Malaysia kepada pembaca dunia. Kedua, Keris Mas sendiri menjelaskan Kuala Lumpur merupakan bandar raya pusat perniagaan serta hab kewangan Malaysia.

Keris Mas melalui kata-kata naratif membincangkan pembabitan Melayu dalam bidang perniagaan dan perkongsian ekonomi dengan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Sungguhpun begitu, beliau mengingatkan semua pembangunan dan kemajuan tersebut perlu diseimbangkan dari segi material dan juga rohani.

Pembangunan hanya akan kaku sebagai batu semata-mata jika tidak disuntik “jiwa” ke dalamnya. Itu yang begitu ditekankan oleh Sasterawan Negara Dr. Siti Zainon Ismail dalam buku Rumah Waris Uwan; Membaca Peta Kuala Lumpur 2020 (2013) yang tekal mempertahankan tanah leluhurnya daripada ditelan arus pembangunan.

Pendekatan sejarah dan demografi dalam buku comel tersebut menyorot keindahan kampung halaman Dr. Siti, Kampung Banda Dalam, Gombak (bukan Bandar Dalam; Banda bermaksud “tali air” dalam bahasa Melayu lama) dengan sentuhan bahasa yang puitis, sehinggakan mampu menjentik pintu hati orang yang membacanya.

Kampung tersebut kini diancam pembangunan di kiri, kanan, depan dan belakang. Jadi tidaklah keterlaluan jika Dr. Siti menzahirkan ekspresinya melalui catatan sejarah, puisi dan gambar yang terselit kritikan bagi membela kampung yang berusia lebih 150 tahun itu. Sekurang-kurangnya Dr. Siti berharap buku ini menjadi dokumentasi lengkap jika suatu hari nanti Kampung Banda Dalam sudah tidak wujud lagi.

Tidak jauh temanya seperti yang Enchelah Rajadewa sampaikan dalam novel Rambutan Kuala Lumpur (2015) berdasarkan kisah benar. Ia menceritakan mengenai kisah sebatang pokok rambutan yang benihnya dari kampung ditanam di sebuah kawasan di Kuala Lumpur. Pokok tersebut yang kemudiannya berusia berbelas tahun akhirnya ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Pokok rambutan tersebut merupakan perlambangan kepada situasi penghijrahan Yasin, anak muda ke bandar besar bagi mengejar kemajuan. Namun realiti kehidupannya tidak seperti yang dirancang kerana beliau berhadapan dengan situasi rumit. Tinggal di rumah pangsa dikelilingi masalah sosial merupakan warna-warni Kuala Lumpur dan asam garam kehidupan masyarakat “miskin bandar”.

Apa-apa pun, “Sastera itu merakam zamannya.” Itu yang turut Atondra laksanakan dalam Sebuah Wilayah Bernama Kuala Lumpur (2014) dengan menghimpunkan 26 cerpennya sejak 1970-an hingga 2000. Atondra memilih judul “Kuala Lumpur” kerana hampir sepanjang hayatnya menjadi penghuni setia bandar raya ini.

Atondra menulis sesuatu yang sangat dekat dengan hatinya baik berkenaan kisah hidupnya sendiri mahupun kehidupan manusia yang wujud di sekelilingnya. Menelaah baris demi baris kumpulan cerpen ini, seolah-olah Siti Harahaz, Muhammad Wari, Tuminah, Sabiaton dan lain-lain wujud dalam kehidupan kita sehari-hari.

Menikmati sate di Jalan Raja Bot, menaiki bas Sri Jaya, membeli barang di Jalan Benteng, bersidang di Balai Budaya atau Balai Nirwana, makan nasi lemak berlauk sotong tumis di Jalan Barat antara peristiwa dalam buku ini yang mengembalikan nostalgia dan memori yang tidak akan berulang kembali.

Orang Jerman Pun Menulis Tentang Kuala Lumpur

Orang Malaysia menulis tentang Kuala Lumpur itu biasa. Orang luar menulis tentang Kuala Lumpur itulah yang luar biasanya. Dalam buku Kuala Lumpur-Berlin: Kisah Dua Bandar Raya Stadtgeschichten (2012) dwibahasa (Melayu dan Jerman) diusahakan penerbitannya oleh Hedy Holzwarth, Holger Warnk dan Volker Wolf yang merupakan warga Jerman hasil kerjasama ITBM dan Goethe Institut.

Dalam buku ini, teks sastera (cerpen dan puisi) serta fotografi disajikan bagi melukiskan pesona kedua-dua bandar; Kuala Lumpur dan Berlin. Penulis dari Malaysia menulis tentang pengalaman mereka berkenaan Berlin, manakala penulis Jerman menulis tentang Kuala Lumpur. T. Alias Taib, Zaharah Nawawi, Faisal Tehrani, Hishamuddin Rais, Farish A. Noor, dan Kam Raslan antara penulis Malaysia yang didokumentasikan karya mereka dalam buku ini.

Dalam Sekapur Sirih, Holger Warnk menulis perbezaan antara orang di Berlin dengan orang Kuala Lumpur, “... kadangkala penuh dengan rasa sayang, kadangkala secara ironis, kadangkala secara kritis.” Apakah maksudnya?

Namun sama ada Kuala Lumpur mahupun Berlin, kedua-duanya tetap mempunyai tarikan dan pesonanya yang besar. Dalam cerpen Langit Cerah (Blauer Himmel), Joanne Chin menjelaskan bahawa orang yang tinggal di Kuala Lumpur sentiasa menganggap apa-apa perubahan yang berlaku di ibu kota ini sebagai situasi yang biasa-biasa sahaja. Namun jika ada seorang pelancong memberikan komentar tentang sesuatu berkenaan Kuala Lumpur, barulah kita tersedar akan perubahan tersebut.

Bak kata Holger Warnk, “Berlin sangat indah pada musim sejuk. Namun Kuala Lumpur selepas hujan lebat sepanjang petang juga sangat indah!”

Kebijakan Pelancongan

Kalau kita menaip kata kunci “Kuala Lumpur” di laman Goodreads, akan terpapar 445 judul buku yang menggunakan “Kuala Lumpur” sebagai judul buku. Daripada kesemua judul tersebut, apakah buku yang benar-benar menggamit hati pembaca teruja datang ke Kuala Lumpur, sebagaimana pelancong datang ke Pulau Belitung selepas membaca Laskar Pelangi, ke Sarawak selepas membaca Sandokan: Lanun Malaysia, atau ke Amsterdam selepas membaca The Diary of Anne Frank?

Andrea Hirata berpandangan bahawa pelancongan perlu dibijakkan dengan sesuatu, iaitu tidak mengeksploitasikan potensi alam semata-mata. Contohnya, betapa ramainya orang mengunjungi Stesen King’s Cross di London dan beratur panjang di Platform 9¾ untuk bergambar di lokasi yang tercatat dalam buku dan filem Harry Potter. Platform tersebut tidak mengumbar kejadian alam secara berlebihan pun.

Andrea membina Muzium Kata dengan usahanya sendiri sehingga mengundang kedatangan pengunjung sehingga 250,000 orang setahun. Itu juga yang dibuat di Amsterdam yang meraih kehadiran lebih 1.2 juta pengunjung setahun ke Muzium Anne Frank. Goethe House juga lokasi wajib dkunjungi jika ke Frankfurt, Jerman.

Begitu juga Muzium Charles Dickens di London atau Château de Saché (rumah Balzac) di Saché, Perancis.

Anuar Manshor
Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM