Budu yang dicecah dengan pucuk ketereh menjadi hidangan seharian mereka. Wanitanya selalu berkain batik Jawa dengan kain lepas sebagai penutup kepala menjadi pakaian seharian. Lelaki mereka juga selalu bersemutar dengan kain lepas dan berkain pelekat kilas di pinggang. Sabit di tangan untuk mencerut rumput, atau menahan pukat dan ternilai di baruh ialah kerja seharian mereka. Mereka saling tak tumpah seperti orang melayu di Kelantan. Malah nama panggilan seharian mereka juga banyak menggunakan nama orang melayu. Banyak juga yang “masuk Melayu”. Yang membezakan mereka dengan orang Melayu hanyalah pegangan agama dan kepercayaan. Yang lain adalah sama.
Samran bercerita tentang perjuangan, kasih sayang dan pengorbanan. Ia juga bercerita tentang rasa benci yang menghunjam tanpa perkiraan waktu tetapi disisih pergi dengan kasih sayang yang mengalir tanpa putus. Samran adalah tentang budaya, adat resam dan kepercayaan sekelompok masyarakat yang majoritinya mendiami perkampungan di sempadan Malaysia – Thailand. Samran adalah tentang askar bangsa yang sering dipersoalkan statusnya, dan ia juga bercerita tentang asakan terhadap budaya warsan bangsa.
Ada cerita yang tidak terucap. Ada sejarah yang tidak terungkap. Kesemuanya terungkai dalam Samran.