ISBN: 9789674602741
Tahun Terbit: 2019
Harga: RM 25.00 / 30.00 (Sabah & Sarawak)
Sajak-sajak Ladin Nuawi: yang hilang tetapi sentiasa ada. Sajak-sajak Ladin Nuawi yang terhimpun dalam pemain puisi ini bagaikan mengembalikan sosok dunia puisi Ladin Nuawi dalam jagat kesusasteraan Malaysia. Ladin Nuawi pernah muncul dan menggegarkan dunia puisi Malaysia.
Pembaharuan yang dibawa oleh Ladin baik dalam puisi-puisinya mahupun cara beliau melantunkannya agak menggoncang dan seperti sedikit mencabar pemuisi konvensional. Pendeklamasiannya yang bersifat teaterikal rupanya tidak disenangi oleh segelintir orang. Inilah yang ada dalam pemain puisi. Sajak-sajak dalam kumpulan ini ialah suara kejujuran yang datang dari dalam Ladin Nuawi sendiri. Suara Ladin begitu jujur. Hipokrasi sememangnya tiada dalam kamus karyanya. Lihat sahaja, ada sajaknya yang bertajuk tetapi tiada sebarang aksara dalamnya. Ia nihil tanpa kata. Walaupun nihil, ia sebenarnya sarat dengan nilai emosi! Ia bagaikan suatu sakti yang menyihir seluruh alam buana! Malah ada sajak-sajaknya yang tidak bertajuk, tetapi sarat dengan pesanan walaupun dalam jumlah kata yang sangat kedekut. Istimewanya sajak-sajak Ladin Nuawi ialah dia pandai bermain dengan kata. Setiap unsur bunyi, jumlah suku kata dan jumlah baris disusun penuh makna.
Perhatikanlah kata-kata yang dikahwinkan Ladin Nuawi dengan unsur bunyinya. Sukatan dan jedanya sangat tepat. Tiada sebarang wahana atau mesin yang membentuk semua itu, melainkan taakulan naluri semata-mata. Sungguh, bagi sesiapa yang mengenali Ladin Nuawi dalam lipur lara persajakannya tentunya sangat merindui sajak-sajak gedebe Ladin Nuawi. Dan, sajak-sajak gedebe Ladin Nuawi ada dalam pemain puisi ini.