ISBN: 9789674605544
Tahun Terbit: 2017
Harga: RM 20.00 / 25.00 (Sabah & Sarawak)
Kumpulan Puisi: Lelaki yang Menjual Cinta kepada Gerhana bukan suara insan yang lirih merintih kecewa terhadap kekasih, tetapi suara insan yang tepu nasihat , yang menuntut kita mengintai kehidupan dengan hati kecil, selain memaparkan kekuatan mata pena sebagai wakil mata hati.
Puisi-puisi dalam kumpulan ini bukan permainan kata kosong, tetapi sarat dengan buah fikir yang mengajar kita merenungi kehidupan daripada pelbagai sisi, sama ada secara berkias yang indah, atau lurus yang jujur. Kitalah yang harus bijaksana mencerakinkan setiap isi yang dihujahkan oleh penulis.
Seandainya serdadu dilatih dengan madah pujangga
lalu dibiarkan mereka memegang pena
menumpahkan bicara pada sehelai kertas lama
pada batu atau pokok-pokok di rimba
jangan pernah curiga kiranya
engkau melihat mereka berjalan tanpa senjata
kerana pelaru tersembunyi dari diari yang bakal dibuka!
Itulah puisi yang bisa merobek hati
atau menjadi pembunuh sepi
...
Bukankah kata-kata
tajamnya lebih daripada sebilah belati?
perang pun mengubah tradisi
walau dengan hanya serangkap puisi
ada yang terbunuh kerana tidak mengerti
bagaimana mahu mengikis dengki
atau berintegrasi dalam mimpi
kemanusiaan sejati.