ISBN: 9789674302221
Tahun Terbit: 2013
Harga: RM 40.00 / 45.00 (Sabah & Sarawak)
Ratib Kalbu mengandungi 59 puisi yang digarap Sutung. Kumpulan puisi ini boleh dikelompokkan ke dalam puisi yang membawa nilai profetik, iaitu karya sastera yang sarat dengan nilai agama dan ketuhanan. Walaupun tema yang diangkat oleh Sutung agak berat, namun beliau tidak mengabaikan nilai-nilai estetikanya. Malah pesan-pesan yang ingin disampaikan Sutung lewat puisi-puisinya juga tidaklah terlalu sukar untuk difahami.
Sebenarnya, puisi (sastera) dengan Islam sangat rapat hubungannya lebih-lebih lagi dalam konteks untuk menyebarluaskan ajaran Tuhan. Semenjak abad ke-10 lagi, sudah menjadi tradisi golongan sufi menjadi penggemar dan pencinta seni tampak dalam amalan sama’. Pengalaman para sufu menyertai upacara sama’ membuatkan mereka insaf bahawa puisi memang merupakan wahana yang tepat dalam pengungkapan pengalaman keagamaan dan kerohanian mereka.
Syed Hossein Nasr pula berkata, sastera menjadi kian penting untuk memahami hubungan antara seni dan spiritual Islam. Firman Tuhan yang diwahyukan melalui al-Quran mengandungi gaya bahasa yang dituturkan manusia sebagai ekspresi rasa dan sentuhan nurani dalam mengetuk pintu batin untuk mengingati Yang Maha Berkuasa.
Ratib Kalbu bukan sahaja memberikan kita keindahan, bahkan juga pesanan-pesanan spiritual untuk dijadikan pedoman.