Keberadaan manusia di dunia ini sungguh kerdil namun fungsinya amat besar terutama dalam menyampaikan dan berkongsi pengalaman diri yang memberikan manfaat kepada yang lainnya. Koleksi 100 buah pusi ini pernah diterbitkan di majalah-majalah dan media cetak lainnya, dan merupakan pesan-pesan hikmah seorang insan yang jiwanya dipenuhi semangat kental sementelah pula perjalanan usia banyak mendidiknya tentang manusia dan kemanusiaan. Dalam kumpulan puisi ini, penulis cuba untuk menyampaikan pesan-pesannya dengan menggunakan lenggok bahasa yang halus dan santun, dipersembahkan penuh berseni tanpa mengetepikan nilai intelektual pembacanya. Pelbagai isu disentuh daripada pembinaan jati diri, perkongsian rasa, kasih sayang dan nilai setia kasih suami isteri hinggalah kepada kritikan sosial dan representasi sifat manusia yang bergelumang dalam masyarakat.