ISBN: 9789674305284
Tahun Terbit: 2014
Harga: RM 20.00 / 25.00 (Sabah & Sarawak)
Zahirnya, sajak hanya longgokan kecil kata, namun dalam kalangan penggiat dan penggemar puisi, longgokan kata itu sebenarnya selautan telaah minda yang dapat memukau fikiran serta mata kalbu sesiapa sahaja yang ingin memahaminya. Sajak, sebagai suatu manifestasi yang lahir daripada kecintaan manusia terhadap kehidupan, kemanusiaan, kealaman, dan segala isi semesta yang diciptakan Tuhan ini, tentunya mampu menjadi alat untuk mengkritik kehidupan manusia. Malah, sjaka juga mampu meninjau kebenaran jiwa dan mentafsirkan rahsia jiwa manusia, jika fungsinya benar-benar dimanfaatkan oleh khalayak pembaca. Orang yang peka akan tahu bahawa di dalam sajak itu ada interaksi antara cita rasa fizikal dan spiritual, yang akan memperkaya pengalaman hidup sebagai khalayak yang menerima.
Dalam konteks kumpulan sajak ini, patah-patah kata dalam sajak bukan sekadar simbol idea semata-mata, malah merupakan dua asas makna dalam gaya interaksi manusia- makna yang melibatkan ungkapan pemikiran dan makna yang mengaitkannya dengan ungkapan perasaan. Hal ini bertepatan dengan tujuan kesusasteraan - untuk menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Bukan sekadar itu, sebagai pentas manifestasi, sajak-sajak dalam kumpulan ini menjadi gedung ilmu yang menghantar kita ke ceruk paling sunyi, ke dasar paling dalam, ke rahsia paling tersembunyi dan ke konflik paling rumit: semuanya melalui pentafsiran perasaan yang bebas terhadap susunan kata yang puitis dan bermakna.