Blog

Fakta Boleh Menceriakan Dunia Bacaan

b079275a-15a8-4b82-bb33-5647745dd243

Dalam satu tinjauan yang dibuat terhadap pembaca, salah satu ruangan paling popular dalam akhbar Utusan Malaysia membabitkan fakta ringkas. Baik namanya Sekilas Fakta, Fakta Luar Biasa atau Fakta Menakjubkan, sudut fakta di sebelah bawah kiri akhbar ini sentiasa mendapat perhatian Iuar biasa.

Ia misalnya bermula dengan fakta yang dimanipulasikan untuk memberikan impaknya. Misalnya dalam masa tiga tahun setengah, air yang digunakan untuk tujuan domestik dan industri di negara ini, boleh mengisi sebuah Selat Melaka. Purata penggunaan air rakyat Malaysia ialah 5 juta padu air.

Satu Iagi fakta menarik: Sekiranya anda tinggal di bandar, anda menghabiskan masa 7 bulan sepanjang hayat membuka dan menutup pintu pagar rumah anda. Tahukah anda, sekiranya kesemua kenderaan berdaftar di negara ini (lebih 5.5 juta pada tahun 1993) disusun rapat, ia boleh menghubungkan Kuala Lumpur dengan Rio de Janeiro di Brazil.

Ekoran kejayaan fakta ringkas muka satu itu, Utusan juga telah memulakan sudut fakta mengenai filem (Yang Pelik dan Ajaib) dan sukan (Keunggulan). Kesemuanya menjadi tarikan kepada pembaca. Faktanya ringkas, kemas kini dan menarik.

Anda ingin tahu siapa pelakon paling tua, pelakon yang dibayar paling mahal, atau filem yang paling merugikan dalam sejarah? Anda ingin tahu atlet paling berjaya, pelumba profesional paling dikagumi atau ahli sukan yang paling mahal bayarannya, anda hanya perlu melihat halaman Sukan.

Fakta ringkas memang selalunya menarik. Sebab itu buku seperti The Book of Lists, The 10 Best of Everything selain The Guinness Book of World Records begitu laris.

Perhiasan

Mungkin perkara yang dibangkitkan daripada buku-buku seperti ini remeh dan tidak penting. Apa perlunya anda tahu dari mana datangnya perkataan “banglo” (kononnya dari perkataan Benggali, bangla). Anda mungkin tahu emas merupakan hanyalah perhiasan bagi manusia. Tapi tahukah anda sekiranya “ditarik” satu auns emas, ia boleh dijadikan wayar sepanjang 80.5 kilometer atau 50 batu?

Anda mahu tahu berapa banyak manusia kidal di dunia? (kira-kira 200 juta orang). Berapa banyakkah bayi yang lahir setiap saat (4). Berapa banyakkah air yang anda minum sepanjang hayat? (kira-kira 16,000 gelen).

Sebuah buku tentang fakta menakjubkan ini diterbitkan juga di Malaysia. Buku ini dicetak oleh S. Abdul Majeed & Co. yang beralamat di Jalan Masjid India. Buku kecil ini diberi nama 501 Fascinating Facts. Memang buku ini tidak disusun secara sistematik. Tetapi oleh kerana ia dibentangkan dengan cara yang dramatik, faktanya menjadi hidup dan menghiburkan.

Anda ingin tahu berapa banyak surat yang diterima oleh pelawak Charlie Chaplin? Pada zaman gemilangnya, beliau menerima kira-kira 73,000 surat dalam masa dua hari.

Berapa banyak kali mata anda terbuka dan tertutup sepanjang hayat? Kira-kira 250 juta kali. Tahukah anda bahawa jantung anda mengepam 1.5 juta gelen darah setahun? Berapa banyak kalikah anda menggerakkan tubuh anda sewaktu tidur pada waktu malam? Kira- kira 40 kali. Tahukah anda bahawa Tasik Baskunchak di Rusia baleh memberikan bekalan garam untuk 2,000 tahun?

Bangsa apakah yang paling banyak minum kopi? Orang Brazil? Salah! Bangsa Sweden minum purata 29 paun kopi seorang setahun. Planet Bumi didiami oleh 1.4 juta spesies binatang dan 500,000 spesies tumbuhan. Anda tahu berapa banyak tulang dalam tubuh anda? 206.

Anda mahu tahu siapa yang paling banyak kali kahwin di dunia? Seorang manusia bernama Adrienne Cuyot dari Belgium. Beliau telah bertunang 652 kali dan berkahwin 53 kali dalam masa 23 tahun. Seorang lelaki dari Algeria bernama Ahmad dikatakan mempunyai 385 isteri. Sayangnya tidak pula disebutkan dalam satu-satu masa berapa banyak pula isterinya.

Anda ingin tahu fakta sejarah? Alexander the Great (yang kita kenal sebagai Iskandar Zulkarnain) penakluk terkenal dan Julius Caeser, Maharaja Rom hidup dalam dua zaman yang berbeza. Tetapi satu hal yang menyamakan mereka. Kedua-duanya menghidap penyakit gila babi.

Anda mahu tahu berapa banyak warna dalam perbendaharaan bahasa Perancis? 123. Berapa banyak pula sinonim bagi perkataan unta dalam bahasa Arab? 1000.

Anda mungkin tidak tahu bahawa plumbum yang terdapat dalam pensel anak anda boleh menulis sepanjang 35 batu. Ulat sutera makan makanan sebanyak 85,000 kali lebih berat daripada tubuhnya. Lalat mengipas kepaknya 330 kali dalam masa sesaat.

Koleksi fakta seperti ini banyak membantu anak-anak sebenarnya. Bagi mereka yang malas membaca, mungkin fakta sebegini boleh menceriakan dunia pembacaan mereka.

Atau bagi yang bosan membaca tentang hal-hal hebat dan wacana tinggi, fakta mudah seperti itu akan meringankan beban minda.

29 Julai 1996

Dapatkan buku Nota Kaki Johan Jaaffar: 206 Rencana Dalam Utusan Malaysia tulisan Tan Sri Johan Jaaffar ini DI SINI.