Blog

5 Buku Cerita Pendek yang Boleh Dibaca Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Blog_%281%29

Bermula 18 Mac 2020, seluruh rakyat Malaysia diarahkan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia.

Semua premis kerajaan dan swasta yang tidak menawarkan perkhidmatan penting (essential) perlu ditutup.

Berita baik kepada semua pencinta buku, urusan jualan buku di ITBM masih berjalan seperti biasa di www.itbm.com.my. ITBM sentiasa komited untuk membekalkan bahan bacaan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Duduk di rumah, tapi tidak tahu nak baca buku apa? Jangan risau, kami rumuskan kepada anda lima (5) buku cerita pendek (cerpen) yang sesuai dibaca di rumah semasa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu ini.

Kenapa cerita pendek? Kerana cerita pendek lebih santai dan menghiburkan. Pembaca juga tidak terikat untuk menghabiskan sesebuah buku, sebaliknya boleh memilih cerita pendek yang menarik dan berkenan di hati.

Tambahan pula, cerita pendek tidak terlalu mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Ia boleh dibaca sambil-sambil melakukan kerja rumah terutama sekali golongan ibu yang sudah tentu banyak urusan yang perlu diselesaikan.

(1) “20 Cerita Tentang Tuhan” karya S.M Zakir
https://www.itbm.com.my/buku/kumpulan-cerpen-20-cerita-tentang-tuhan

S.M Zakir sentiasa berjaya memaparkan jalan cerita yang sangat sukar diduga. Selain Ikarus, 20 Cerita Tentang Tuhan juga antara karya terbaru yang mempunyai satu ikatan tema dan makna, iaitu mencari Tuhan. Setiap daripada kita mempunyai pengalaman dan perjalanan tersendiri dalam mencari Tuhan, dan 20 Cerita Tentang Tuhan ini telah meneroka satu relung kehambaan yang luas dan dalam.

2) “Pascasejarah” karya Fahd Razy
https://www.itbm.com.my/buku/pascasejarah

Minat karya fiksyen yang berlatarbelakangkan sejarah?

Pascasejarah ialah pilihan yang terbaik. Sebanyak 12 cereka di dalamnya disusun mengikut kronologi masa menjadi seminovel yang merumuskan sebuah zaman: Pascasejarah.

Buku ini mencitakan tentang bangsa homocivilis yang membina istana peradaban di atas puing-puing silam. Lalu bangsa itu jugalah yang meruntuhkannya kembali menjadi debu sejarah. Mesejnya berputar antara pertelingkahan, keangkuhan, dan ketamakan yang telah sekian lama merosakkan tamadun kemanusiaan.

3) “Narasi, Gua dan Raqim” karya Mawar Safei
https://www.itbm.com.my/buku/kumpulan-cerpen-narasi-gua-dan-raqim

Buku ini mengandungi 10 cerpen. Ia merentasi antaranya hati anak kecil, lelaki bisu, perempuan pikun dan latar pengembaraan hujjaj di Muzdalifah dan Jamrah.

Membaca buku ini akan membuatkan kita merasa asyik sekali menikmati perjalanan cinta hamba yang membuak-buak mencari maksud dan tujuan bertuhan.

4) “Magis Kota” karya Zainal Rashid Ahmad
https://www.itbm.com.my/buku/magis-kota-kumpulan-cerpen

Penulis yang hebat ini sering tidak pernah terlepas daripada memenangi mana-mana anugerah sastera. Sentiasa hadir dengan idea yang baharu, segar, dan unik.

Magis Kota ialah kumpulan cerita pendek berbentuk realisme magis. Sarat kritikan sosial, dan yang paling penting, pemerhatian mendalam penulis tentang keadaan semasa yang beliau adunkan menjadi jalan cerita yang kemas dan tersusun.

5) “Lela Rentaka” karya Syahidatul Munirah
https://www.itbm.com.my/buku/lela-rentaka

Lela Rentaka ialah nama kepada meriam kecil yang sangat signifikan dalam dunia kepahlawanan Melayu, khususnya dalam sejarah Langkasuka. Begitu banyak babak perit dan getir yang telah diteroka oleh penulis yang mana selama ini jarang kita ambil tahu dan peduli.

Sejarah menawarkan makna, rasa dan pengalaman berbeza. Membaca sejarah mungkin membosankan, tetapi apabila sejarah difiksyenkan, ia boleh menjadi cerita yang penuh aksi dan dramatik.

#

Kelima-lima buah buku ini boleh dibeli dalam talian di gedung buku maya ITBM. Boleh klik www.itbm.com.my dan pergi ke katalog buku.

Inilah masanya untuk kita duduk rumah dan baca buku. ITBM mengucapkan selamat berehat dan mendoakan semua rakyat Malaysia dalam keadaan sihat dan selamat. Sama-sama kita bersatu padu melawan Covid-19 ini.