Organisasi

Organisasi

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (276206 D) atau singkatannya ITBM (sebelum ini dikenal sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia) ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 14 September 1993 untuk menyediakan prasarana bagi mewujudkan industri terjemahan di Malaysia, selaras dengan haluan negara menuju Wawasan 2020.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, modal asas ITBM dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selaras dengan Akta Syarikat 1965, objektif, bidang kuasa, ahli lembaga pengarah dan urusan berkaitan fungsi ITBM tertakluk kepada Memorandum dan Tataurusan Persatuan ITBM yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.

ITBM ditubuhkan bagi mengangkat bidang terjemahan dalam negara, mengendali hal ehwal berkaitan terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu pada semua peringkat, kebangsaan mahupun antarabangsa. ITBM juga bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri perbukuan negara selaras dengan perluasan mandatnya yang diumumkan oleh YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 16 Disember 2011.