Jom Kritik Buku ITBM


PERADUAN KRITIK BUKU ITBM DI FACEBOOK/BLOG 2018

Langkah 1
Beli sebarang buku terbitan ITBM – karya asli atau karya terjemahan.

Langkah 2
Tulis kritikan buku ITBM di blog atau Facebook peribadi anda. Lengkapkannya dengan maklumat buku yang dikritik:
- judul buku
- penulis
- no. ISBN
- harga

Langkah 3
Salin (copy) alamat sumber URL blog atau Facebook yang menyiarkan kritikan buku tersebut. Layari http://www.facebook.com/rakanITBM, tulis judul kritikan dan tampal (paste) alamat URL kritikan anda di 'ruangan status' pada "Dinding" (Wall) laman Facebook ITBM.

Langkah 4
Klik "Kirim" (Post) dan penyertaan kritik buku anda akan terpapar di laman Facebook ITBM.

SYARAT PENYERTAAN

  1. Peraduan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia – pembaca atau pembeli buku terbitan ITBM.
  2. Peserta boleh mengirimkan seberapa banyak penyertaan, tetapi setiap kritikan perlu asli, bersumberkan buku terbitan ITBM yang berlainan.
  3. Kritikan yang ditulis hendaklah meliputi isi kandungan dan bentuk fizikal buku. Pemarkahan akan dinilai berdasarkan empat kriteria (**) berikut:
    1. 50% = Kritikan isi kandungan buku
    2. 30% = Kritikan rupa fizikal buku (reka bentuk kulit buku, reka letak, saiz dan sebagainya)
    3. 15% = Cara penyampaian dan kreativiti kritikan
    4. 5% = Laras bahasa dan tatabahasa
  4. Tarikh tutup penyertaan 31 Mei 2018. Penyertaan yang dihantar selepas tarikh tutup tidak akan dilayan.
  5. Keputusan juri adalah muktamad. Sebarang rayuan atau surat-menyurat tidak akan dilayan.
  6. Setiap penyertaan akan diberikan senaskhah buku terbitan ITBM. Bakal pemenang akan dimaklumkan melalui panggilan telefon serta kiriman e-mel.

**Nota: Butiran lanjut mengenai kriteria kritikan seperti di bawah

1.

KRITIKAN ISI KANDUNGAN BUKU

  • Kajian dan pemahaman terhadap karya yang dikritik.
  • Huraian pandangan terhadap karya – keistimewaan, kekuatan dan kelemahan.
  • Perbandingan dengan karya lain (yang setara).
  • Saranan terhadap penambahbaikan/pemantapan karya.

2.

KRITIKAN RUPA FIZIKAL BUKU

  • Pemahaman terhadap kesesuaian ciri fizikal buku.
  • Pandangan terhadap reka bentuk, saiz, warna dan reka letak buku.
  • Perbandingan dan saranan penambahbaikan terhadap ciri fizikal buku.

3.

CARA PENYAMPAIAN DAN KREATIVITI KRITIKAN

  • Kritikan ditulis dengan jelas, ringkas dan mudah difahami.
  • Huraian yang diberikan sesuai dan berkaitan dengan karya/fakta.
  • Contoh yang digunakan sesuai dengan maklumat yang disampaikan.
  • Kematangan dalam penulisan kritikan.

4.

LARAS BAHASA

  • Penggunaan bahasa, tatabahasa dan susunan ayat yang betul.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

CONTOH KRITIKAN BUKU - PEMENANG TAHUN 2017

JUDUL BUKU: KUMPULAN PUISI MATAHARI ITU INDAH

KARYA: ROSLI K. MATARI

TAJUK KRITIKAN: KUMPULAN PUISI MATAHARI ITU INDAH

NAMA PEMENANG : HARYATIE ABDUL RAHMAN (DR.)

1. Pendahuluan

Apa Itu Puisi?

Menurut Zaba, puisi atau karangan berangkap adalah "khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya". Konsep puisi tersebut menekankan kefahaman bahawa puisi mementingkan dua perkara utama, iaitu fikiran yang cantik (bermanfaat) dan bahasa yang indah. Samual Taylor Coleridge pula menyatakan bahawa puisi ialah "the best words in their 'best order' " (perkataan terbaik dalam susunan terbaik). Hal ini menjelaskan bahawa puisi yang baik harus mengandungi keseimbangan perasaan dan pemikiran. Kehadiran kedua-dua aspek tersebut akan berupaya menyuguh emosi dan menggugah pemikiran pembaca yang menghayatinya. Asraf, seorang pengkritik sastera terkenal pernah menegaskan bahawa karya yang mempunyai nilai seni ialah yang dapat memberi gambaran nyata tentang hidup, tentang masyarakat, tentang dunia umumnya, dan gambaran yang nyata itu akan dapat membuka mata pembaca terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Pendapat ini diperteguhkan maknanya oleh pandangan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, yang menyebut bahawa puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana. Justeru, sesebuah karya sastera yang baik, bukan sahaja bertujuan untuk dinikmati, membuka mata kita terhadap isu-isu tertentu, malah pada masa yang sama berupaya menjadi alat penyebaran ilmu kepada masyarakat.

2. Deskripsi Karya Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh (2015)

Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2015, merupakan kumpulan puisi pemenang tempat kedua dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015. Kumpulan puisi ini mengandungi 56 buah puisi, mengisi ruang 127 halaman, yang mengungkap kenangan, pengalaman, pengamatan dan pemikiran penyair Rosli K. Matari hasil kunjungan perjalanan beliau ke Sumatera Utara pada tahun 2014. Perjalanan beliau menelusuri selatan provinsi tengah, Indonesia, iaitu bermula dari kota Medan, melewati daerah Kabanjahe, Sibolangit, Penatapan, Brastagi, ke Sipiso-piso dan Danau Toba. Ia merupakan kunjungan dan perjalanan yang singkat, tetapi cukup bermakna serta berupaya menjelmakan pelbagai makna dalam proses kreativiti penyairan beliau.
Dari segi anatomi, K. Satya Murthy (2009) dalam buku beliau “How to write a book”, menyatakan bahawa bahagian daripada buku harus terdiri daripada judul, kata pengantar, prakata, daftar isi, bab, appendix, glossary, bibliography dan index. Putra (2007) menyatakan bahwa buku yang lengkap terdiri daripada empat bahagian, iaitu sampul (cover), pendahuluan (preliminaries), isi (text matter) dan penutup (postliminaries). Secara fizikalnya, Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh telah memenuhi keperluan anatomi bagi sebuah buku, dengan tampil lengkap memenuhi setiap bahagian yang disebutkan di atas.

Pada halaman kulit depan buku ini, terdapat perkara-perkara utama bagi sesebuah kulit buku, iaitu judul buku, nama pengarang, logo penerbit (dalam konteks buku ini diwakili oleh logo sayembara penulisan ITBM-BH-PENA) dan lakaran ilustrasi imej matahari serta penggunaan warna-warna yang melambangkan cahaya matahari. Bahagian kulit depan buku ini penting bagi menarik perhatian pertama pembaca kerana lazimnya tatapan pertama pembaca terhadap sesebuah buku adalah bermula pada bahagian ini.

Bahagian tulang belakang buku juga penting kerana fungsnya sebagai tampuk utama, iaitu tempat di mana kertas buku digam dan dijahit. Di dalam kedai buku, tulang belakang buku berperanan penting bagi mengiklankan buku itu kepada bakal pembeli. Di dalam perpustakaan, pembaca akan memilih buku yang hendak dicapai berdasarkan tulisan yang dapat diimbas pada tulang belakang sesebuah buku. Terdapat tiga maklumat utama perlu ada pada bahagian ini, iaitu judul buku, nama penulis dan logo penerbit. Dalam konteks ini kumpulan puisis ini, logo penerbit yang dipaparkan adalah logo ITBM dan PENA memandangkan buku ini diterbitkan dengan kerjasama dua institusi tersebut. Seterusnya ialah bahagian kulit belakang buku yang diisi dengan tiga perkara utama, iaitu sinopsis buku atau blurb, kedua logo penerbit, diikuti penerbit dan barkod yang digandingkan bersama dengan nombor ISBN serta harga buku. Ini bermaksud, dari segi keperluan fizikal kulit depan, kulit belakang dan tulang buku Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh adalah lengkap sempurna.

Dari segi struktur penyusunan kandungan buku, Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh distruktur kepada beberapa bahagian utama, iaitu dimulai dengan bahagian catatan kata pengantar, dan sekumpulan puisi yang dibahagikan kepada beberapa kategori. Pertama yang disebut dalam subjudul “Ufuk Timur”, iaitu merupakan bahagian prolog (bahagian pendahuluan puisi) yang memaparkan puisi-puisi sebelum perjalanan penyair ke Medan. Kedua, bahagian puisi-puisi yang terhasil di sepanjang kembara di Medan (diberi sub-judul Medan, Sibolangit, Kabanjahe, Penatapan, Brastagi, Sipiso-piso, dan Danau Toba). Ketiga, merupakan bahagian epilog dengan sub-judul “Ufuk Barat”, iaitu dimuatkan dengan puisi-puisi yang tercipta selepas sesi kembara. Terakhir merupakan bahagian “Koleksi Draf” yang memperlihatkan proses penciptaan puisi oleh penyair, melalui helaian draf-draf yang dilarik-conteng sebelum lengkap dan sempurna menjadi sesebuah puisi.

Rosli K. Matari adalah penyair kelahiran Kubang Kerian, Kelantan yang telah mencipta nama dan kedudukan tersendiri dalam jalur perkembangan puisi tanah air. Beliau merupakan antara penyair penting sejak angkatan 1980-an, seterusnya tetap kekal dan tekal berkarya sehingga sekarang. Keupayaan dan kekuatan puisi-pusi beliau telah jelas teruji melalui sejumlah kemenangan yang pernah diraihnya, seperti memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89, hadiah utama dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1990, 1991, 1992, 1993, serta hadiah penghargaan pada tahun 1995, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1996/1997, hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)-ExxonMobil 2011, HSPM 2010/2011, hadiah utama dalam HSKU-ExxonMobil 2012, HSPM 2012, Penghargaan Karyawan Kelantan 2013, dan HSPM 2013. Kumpulan puisi Matahari Itu Jauh ini merupakan pemenang kedua, dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH pada tahun 2015.

3. Penilaian Kekuatan Karya

Secara umumnya, membaca dan membuat penilaian terhadap puisi adalah lebih sukar berbanding tugas membaca dan menilai karya berbentuk prosa seperti cerpen atau novel. Ini kerana sifat-sifat puisi itu sendiri, yang lebih cenderung untuk menggambarkan sesuatu dan bukan menerangkan atau menghuraikan sesuatu. Kedua, sifat puisi juga adalah membawa makna atau erti sebanyak mungkin dalam kata-kata sedikit mungkin (ekonomis). Ketiga, puisi memberi keluasan dan kedalaman pengetahuan atau pemikiran melalui kepadatan atau keterbatasan kata-kata. Secara praktikalnya, skop dan ukuran penilaian yang digunakan untuk menilai sesebuah karya puisi yang baik adalah dinilai berdasarkan kepada beberapa kriteria utama, seperti berikut;

i. Karya menampilkan susunan idea yang berhasil membentuk kesatuan fikiran yang utuh.
ii. Karya memberi kesan dari sudut rasa dan intelektual (nilai rasa, nilai makna).
iii. Karya dapat menimbulkan kesan visual yang imaginatif dan ekspresif.
iv. Karya mengemukakan nilai motivasi dan memartabatkan kebenaran unggul.
v. Dari segi bahasa, pemilihan diksinya harus sesuai, ekonomis dan berkias; imejannya segar, kalimatnya interpretatif; dan maknanya sesuai dengan konteks (Menurut Samual Taylor Coleridge, puisi ialah "the best words in their 'best order' " (perkataan terbaik dalam susunan terbaik).

Sememangnya adalah sukar bagi menemukan karya yang memenuhi kesemua ukuran seperti yang digariskan di atas, namun jika sebahagian daripadanya pun sudah berjaya terpenuhkan, sesebuah karya itu sudah dianggap layak untuk dinobatkan sebagai karya yang berjaya. Sebagai sebuah karya yang baik dan telah diberi pengiktirafan sebagai pemenang tempat kedua dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh telah mempamerkan kekuatan yang tersendiri, yang dapat dilihat daripada beberapa aspek yang diperincikan di bawah.

3.1 Susunan idea yang berhasil membentuk kesatuan fikiran yang utuh.

Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh mempamerkan struktur kandungan yang terancang dan organik. Susunan idea penyair tentang sebuah perjalanan yang cukup bermakna telah dimulai dengan bahagian prolog yang disebut sebagai subjudul “Ufuk Timur” (mukadimmah/permulaan), yang terdiri daripada puisi berjudul “Catatan Hujung Dinihari”, “Aku Harus Pergi”, “Wahai Matahari” dan “Dunia Ini Panjang, Jauh”. Empat buah puisi awal ini merupakan catatan sebelum keberangkatan bagi kembara penyair, yang membayangkan tanggapan dan pemikiran penyair terhadap peri pentingnya seseorang penyair itu menerokai suatu daerah baharu, bertujuan memperluas ufuk pandang, pengalaman dan mempertajam upaya berfikir dalam karya. Keluasan dan ketajaman tersebut, tentu akan menjelmakan kebaharuan pada proses pengkaryaan. Inilah yang dialami oleh penyair Rosli K. Matari.

Susunan idea penyair bermula dengan rasa keinginan yang mendalam untuk keluar mengembara ke daerah baharu, yang diharapkan akan menghasilkan suatu pemikiran dan penciptaan baharu dalam karya penulisannya. Idea ini dapat dikesan pada bait-bait ungkapan dalam puisi:

“Aku Harus Pergi” seperti yang dipaparkan dalam contoh ini : “Hujung laut/kaki langit/ada apa di seberang sana?/Pohon, tasik, gunung/yang sudah biasa kulihat/deru angin, guruh menderam/yang sudah biasa kudengar/Tetapi itu seberang lain/aku harus pergi/tapakku belum menjejak/rawa-rawa, lumpur di sana/Bahkan, bunga/mungkin ada/wangi lain/sekalipun daun/tetap gugur” (2015:5).

Ungkapan tersebut membayangkan keinginan penyair untuk menerokai daerah baharu bagi menyelami kehidupan masyarakat lain, selain yang sudah biasa diakrabinya dalam kehidupan selama ini. Keinginan tersebut diperteguhkan dengan kesedaran tentang betapa luasnya bumi Tuhan dan sebagai manusia kita digalakkan untuk menerokai dan memanfaatkannya. Tanggapan ini dapat ditelusuri pada puisi berikutnya yang berjudul “Dunia Ini Panjang, Jauh” yang menggambarkan tentang alam ciptaan Tuhan, dengan kesedaran dan keinginan penyair untuk membugarnya. Hal ini dapat ditelusuri pada petikan ungkapan berikut: “Dunia ini panjang, jauh/bahkan bayangku pun/selalu ingin pergi ke depan/justru, aku manusia/jiwa ini/ tidak akan cukup/dengan bulan, terisi di kolam” (2005:8).

Selanjutnya, susunan idea penyair untuk bahagian kedua telah membawa pembaca ke kota Medan, iaitu ibu kota provinsi Sumatera Utara, Indonesia. Medan merupakan kota terbesar di luar Pulau Jawa dan kota metropolitan ketiga terbesar di Indonesia, selepas kota Jakarta dan Surabaya. Ketika berada di daerah ini, penyair telah menghasilkan 11 buah puisi, yang masing-masing berjudul “Selamat Datang”, “Ke Mana Arah?”, “Kubisisme di Kota Medan”, “Sudut Lain”, “Walau di Mana”, “Sepohon Bunga”, “Di Sini”, “Azan Maghrib”, “Malam”, “Rupiah Itu, Tuan” dan “Istana Maimon”. Melalui puisi-puisi yang terhasil daripada garapan perjalanan di Kota Medan, penyair telah mengutarakan beberapa subjek, tanggapan dan pemikiran berhubung isu-isu tertentu. Antaranya, tentang kehidupan manusia yang terbentur dalam hitam putih kehidupan, khususnya di kota yang dikunjungi (“Sudut Lain”), tentang keperitan dan kepayahan hidup yang tidak dipaparkan di permukaan nyata (“Kubisisme di Kota Medan), dan beberapa siri percakapan dengan dengan kelompok marhein penghuni kota yang terungkap dalam puisi-puisi “Sepohon Bunga”, “Kubisisme di Kota Medan” dan “Rupiah Ini,Tuan”.

Selain itu, terdapat juga tanggapan, kritikan dan pemikiran penyair berhubung isu sejarah. Sejarah yang menjadi barah kepada penduduk peribumi, melalui puisi “Istana Maimon”. Melalui puisi ini penyair melontarkan kritikan berhubung sejarah bangsa tersebut. Keluarnya penjajah dari tanah air ini tidak bermakna telah membebaskan rakyat daripada belenggu ‘penjajahan’. Hal ini demikian, memandangkan kehidupan rakyat pada umumnya masih tetap tidak berubah, seperti yang dapat dilihat melalui petikan bait-bait kalimat dalam puisi “Istana Maimon” berikut: “Semuanya kini/sudah terbayar/dengan tinggalan bangunan tua/tanah terpecah-pecah/untuk bangsa lain/nikmat makmur/dijilat bangsa lain juga/anak cucu terusir ke pinggir/politik kalut, porak peranda, yang menang hanya sorak..”
Bahagian seterusnya membawa pembaca kepada segmen lain, iaitu bahagian yang diberi judul Sibolangit . Dalam segmen ini, terdapat 7 buah puisi, iaitu “Langit Biru”, “Ekspresionisme di Sibolangit”, “Pagi”, “Kisah Di Tepi Tasik”, “Petang”, “Dibawa Pula oleh Angin” dan “Bawalah Aku Ke Langit”. Dari Sibolangit, perjalanan diteruskan ke daerah Kabanjahe yang mempamerkan puisi-puisi yang disusun bawah sub-judul Kabanjahe, dengan sejumlah 6 buah puisi yang berjudul “Masjid Agung Kabanjahe”, “Mereka Menyahut Azan”, “Kau, Bayangkan”, “Apakah Harus Kujawab”, “Jejakku” dan “Sinar Terakhir”. Seterusnya pembaca menemukan “Penatapan”, iaitu lokasi atau tempat pemantauan indah dan lazimnya di tempat tinggi seperti pergunungan. Dalam sub-judul ini termuat 6 buah puisi berjudul “Puncak Penatapan”, “Jagung Bakar di Penatapan”, “Penatapan Ini, Bukan Untuk Dijual”, “Wahai Penatapan”, “Dalam Perjalanan Ini” dan “Tidak Dapat Kupetik”. Selain itu, terdapat 5 buah puisi dalam sub-judul yang dinamakan Brastagi , iaitu terdiri daripada “Acara Lelong”, “Pasar Besar Brastagi 1”, “Pasar Besar Brastagi 2”, “Naik Kuda, Bang”, dan “Delapan Catatan Perjalanan”.
Bahagian selanjutnya puisi kembara yang dicatatkan bawah subjudul Sipiso-piso yang mengandungi 4 buah puisi berjudul “Gunung Akan Menggelungsur”, “Matahari Itu Jauh”, “Surelisme di Piso-piso” dan “Mungkin”. Sementara di bawah subjudul Danau Toba pula terhimpun 8 buah puisi yang masing-masing berjudul “Matahari Sudah Hampir Jatuh”, “Bertemu Danau Ini”, “Wahai Danau Indah”, ”Terpendam, Terendam”, “Danau Berkirim Salam”, Dedaisme di Danau Toba”, “Bawalah Aku Pergi” dan “Tinggallah”. Pada bahagian epilog, yang diberi subjudul “Ufuk Barat” (khatimah/penutup) pula memuatkan 5 buah puisi yang berjudul “Selamat Tinggal, Indonesia”, “Pembaris Sejarah”, “Ke Mana Aku Akan Pergi”, “Terhenti Sejenak”, dan “Apakah Makna Bayang?”. Selain itu, terdapat satu bahagian yang jarang dilakukan (di luar kebiasaan) ialah dengan menyertakan lampiran yang mengandungi draf penulisan puisi-puisi yang termuat dalam kumpulan ini.
Berdasarkan susunan idea secara kronologi, iaitu bermula dengan epilog, isi, prolog dan lampiran, dikesani bahawa usaha pengungkapan permikiran dan perasaan melalui puisi-puisi dalam kumpulan ini didapati sangat terancang, organis dan memperlihatkan pembentukan kesatuan fikiran yang utuh. Aspek kesatuan fikiran ini merupakan antara elemen penting dalam menyerlahkan kekuatan sesebuah kumpulan puisi yang diterbitkan.

3. 2. Karya memberi kesan dari sudut rasa dan intelektual (nilai rasa, nilai makna).

Idea bagi penghasilan kumpulan puisi ini bermula dengan keinginan penyair untuk keluar mengembara ke daerah baharu, bagi memperbaharui dunia kepenyairannya. Hasrat tersebut telah memberi kesan rasa dan pemikiran tertentu, berhubung peri penting sebuah perjalanan ke suatu dunia lain daripada kebiasaan. Keinginan dan gagasan ini penyair itu pula selaras dengan saranan Islam sendiri, yang mana Allah telah berfirman dalam Al-Quran, menggalakkan umat manusia supaya berkelana ke setiap pelusuk dunia. Malah terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang menyebut perkataan "berjalanlah" atau "mengembaralah" di muka bumi menimba ilmu pengetahuan. Allah menegaskan manusia supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa, dan seumpamanya. Semua itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan manusia tentang kehidupan, memberi keinsafan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan. Antaranya ialah seperti yang dimaksudkan dalam surah Al-Mulk ayat 15, berikut:
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula”.
Ayat ini menunjukkan bahawa dunia ini merupakan satu hamparan luas terbentang yang perlu diterokai oleh sekalian manusia. Bertolak daripada saranan dan kesedaran tersebut, penyair mengungkap keinginan untuk keluar mengembara. Malah jika meneliti catatan kata pengantar kumpulan puisi yang dinamai sebagai “Sepintas Impian Melintas Perjalanan’ didapati penyair dengan berterus-terang menyatakan impian dan cita-citanya untuk kembara. Lantas impian tersebut juga dilafazkan dalam garapan puisinya seperti yang dapat ditelusuri pada petikan puisi “Aku Harus Pergi” berikut :
“Hujung laut/kaki langit/ada apa di seberang sana?/Pohon, tasik, gunung/yang sudah biasa kulihat/deru angin, guruh menderam/yang sudah biasa kudengar/Tetapi itu seberang lain/aku harus pergi/tapakku belum menjejak/rawa-rawa, lumpur di sana/Bahkan, bunga/mungkin ada/wangi lain/sekalipun daun/tetap gugur” (2015:5).
Ungkapan tersebut membayang keinginan penyair untuk menerokai daerah baharu bagi menyelami kehidupan masyarakat lain, selain yang sudah biasa diakrabinya dalam kehidupan selama ini. Keinginan tersebut diperteguhkan dengan kesedaran tentang betapa luasnya bumi Tuhan dan sebagai manusia kita digalakkan untuk menerokai dan memanfaatkannya. Tanggapan yang hampir sama dapat juga dicerapi pada puisi “Dunia Ini Panjang, Jauh” yang menggambarkan tentang alam ciptaan Tuhan dan kesedaran serta keinginan penyair untuk membugarnya, seperti yang terjelma pada ungkapan berikut:
“Dunia ini panjang, jauh/bahkan bayangku pun/selalu ingin pergi ke depan/justru, aku manusia/jiwa ini/ tidak akan cukup/dengan bulan, terisi di kolam/ Aku ingin juga/menatap bintang/ditempat lain” (2015:8-9)
Paparan seterusnya adalah hasil penerokaan di sepanjang kembara penyair, yang memberi kesan dari sudut nilai rasa dan pemikiran lewat puisi-puisinya. Kesan perasaan dan pemikiran seterusnya dapat dicerap pada puisi-puisi dalam segmen-segmen di Medan, Sibolangit, Kabanjahe, Brastagi, dan Si Piso-piso.
Di Medan lahirnya 11 buah puisi dengan pelbagai kesan perasaan dan pemikiran. Misalnya melalui puisi “Ke Mana Arah”, penyair mempertentang antara hitam putih kehidupan yang direntang pada daerah baharu yang dikunjungi penyair. Kehidupan pada asasnya mempunyai dua warna, iaitu hitam dan putih. Daripada dua warna itu apabila dipadukan dengan bijaksana, akan menghasilkan pelbagai warna dalam kehidupan, tergantung bagaimana setiap individu atau manusia menanggapinya. Melalui puisi ini penyair dihadapkan dengan dua ajakan, dalam kerangka pemikiran binary (something having two parts), seperti yang dilakar pada kalimat-kalimat berikut;

Keratan 1: “Sebatang jalan panjang/ di depanku, ada masjid/ jauh, sayup-sayup
Di hujung jalan” (2015:16).

Keratan 2: “Di jalan lain, agak suram/ada lorong/memanggil, melambaiku/membujuk, ayat-ayat ghairah.” (2015:16).

Kalimat-kalimat di atas membentangkan tarikan hitam-putih kehidupan, dan sebagai manusia penyair meletakkan akal sebagai pemimpin yang bijaksana, untuk memilih kebenaran dan menolak kebatilan. Pemikiran binary dalam konteks pertentangan hitam putih kehidupan juga dapat dikesan melalui puisi “Sudut Lain”, hanya sahaja penyair melihatnya daripada lensa yang berbeza, iaitu lensa kemanusiaan. Ini dapat ditelusuri pada ungkapan-ungkapan berikut;

Keratan 1: “Orang kaya melupakan neraka/rupiah diselam ke dalam bir/ wanita disepit
saja seperti ketam/dosa tidak memerlukan kalkulator”(2015:19).
Keratan 2: “Masih ada banyak sudut lain/bucu-bucu kecil yang baik hati/untuk hidup
dan tidur/dan esok boleh disambung lagi”(2015:19).

Kesan perasaan dan pemikiran yang dapat dita’akul melalui ungkapan di atas, bahawa di mana-mana jua, ketika manusia dihadapkan dengan kegelapan, masih ada sisi lain yang menempias sejalur cahaya untuk direnungi dan dicerapi maknanya. Bahagian pertama di atas, melakar gambaran kehidupan gelap segelintir manusia, namun sebagai manusia, akan masih dapat ditemui nilai-nilai kemanusiaan yang bercambah dan tumbuh di mana-mana, seperti yang dipaparkan pada bahagian 2 di atas.

Lakaran binary kehidupan yang sama juga dapat dicerapi melalui puisi “Rupiah Itu, Tuan”. Puisi ini menyedarkan pembaca tentang jurang kehidupan antara yang kaya dengan yang miskin begitu ketara sekali di sesetengah daerah/negeri/negara. Melalui puisi ini penyair mengungkap kesedaran tersebut secara mempertentangkan kedua dimensi, kaya miskin, dalam paparan berikut;

Keratan 1: “Saya orang miskin/ Tuan./ Tin, botol, sampah/plastik/apa sahaja sisa
terbuang/itulah saya”(2015:30).

Keratan 2: “Di celah-celah gedung tinggi/apartmen, banglo/jenama mewah, glamor
TV/karaoke, bir – “ (2015:31).

Pada umumnya jurang antara orang kaya dan miskin di Indonesia masih sangat lebar. Badan Pusat Statistik (BPS), Indonesia yang dilaporkan oleh DetikFinance.online pada 1 Februari 2017, menyebut bahawa jurang yang lebar itu ketara berlaku di kota-kota, berbanding di desa. Lebih kecilnya jurang tersebut di pedesaan dibandingkan perkotaan, disebabkan lebih banyak kegiatan perekonomian di pedesaan, dan secara umumnya mereka yang tinggal di desa memiliki pekerjaan. Melalui ungkapan puisi di atas, imej-imej yang digunakan bagi mencerminkan kemiskinan dapat ditelusuri melalui kata kunci seperti ‘tin’, ‘botol’, ‘sampah’, ‘plastik’, manakala kata kunci kekayaan pula diwakili oleh kata kunci ‘gedung tinggi’, ‘apartmen’, ‘banglo’, ‘jenama mewah’, ‘glamor TV’, ‘karaoke’ dan ‘bir’.
Selanjutnya di Sibolangit, terdapat rakaman 7 buah puisi dan antara yang cukup membekas kesan perasaan dan pemikiran ialah puisi berjudul “Ekspresionisme di Sibolangit”, yang menyaran peri penting kesatuan dan perpaduan bangsa serumpun, dalam membentuk suatu kekuatan tersendiri kepada hubungan antara Malaysia dan Indonesia . Hubungan Malaysia-Indonesia merupakan satu hubungan tradisi yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun bangsa yang sama, persamaan budaya dan agama. Dari segi sejarah, tamadun Melayu yang telah wujud di rantau ini merupakan kesinambungan tamadun yang telah terbentuk di kedua-dua buah negara. Kegemilangan kerajaan Melayu seperti kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor Lama, Perlak dan Pasai menjadi penanda aras penting bagi menilai pencapaian dan kegemilangan tamadun Melayu pada zaman tersebut. Sebagai bangsa serumpun yang mempunyai banyak persamaan budaya dan bahasa, negara serumpun seperti Malaysia-Indonesia, memiliki ikatan pesaudaraan yang sangat erat sejak sekian lama. Subjek ini menjadi intipati yang signifikan dalam puisi “Ekspresionisme di Sibolangit”, antaranya ketika penyair merakam tanggapan beliau

dalam ungkapan berikut:

“Kita serumpun bertanam buluh

Buluh akan patah diserbu rebut, jika hidup sebatang.

Di belakang kita masih ada seribu rebung

Kelak, semuanya boleh menjunjung langit”(2015:40).

Dengan perkataan lain, meskipun puisi ini adalah sebuah ‘ekspresionisme’ (pengalaman emosi penyair) sebagaimana judulnya, namun ternyata pengungkapannya turut membekaskan idea atau pemikiran yang jelas kepada pembaca. Sekali gus penyair menggagaskan hasrat dan cita-cita murni ke arah penyatuan bangsa serumpun antara dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Selanjutnya di Kabanjahe lahirnya 6 buah puisi berjudul “Masjid Agung Kabanjahe”, “Mereka Menyahut Azan”, “Kau, Bayangkan”, “Apakah Harus Kujawab”, “Jejakku” dan “Sinar Terakhir”. Puisi “Masjid Agung Kabanjahe” misalnya, menginsafkan bahawa sebagai seorang mukmin, setiap orang perlu memahami bagaimana hubungan yang harus dibina dengan Allah SWT, sebagai Rabb. Untuk membina hubungan tersebut, manusia harus terlebih dahulu mengenali siapa penciptanya, mengenali zat-Nya, landasan dasar dan ilmu-ilmu Allah. Hakikat ini dapat ditanggapi daripada contoh ungkapan berikut:

Keratan 1: “Tuhan, aku bersyukur, ingin berterima kasih/Dan takjub kepada-Mu/Di
sini, air wudukku dingin sekali. Teramat-amat dingin/Menggeletar aku,
padahal sudah terik tengah hari”(2015:51).

Keratan 2: “Bersentuhlah air yang Kausimpan ini/dengan tangan, muka dan kakiku/

Keratan 3: “Waktu zohor sudah sebegini menggeletarkan/upayakah aku lagi dalam
sumsum dingin subuh nanti?”“Menggigil takbirku pada-Mu/sujud kepada-
Mu” (2015:51).

Keratan 1 di atas, menspektrakan makna hubungan manusia dengan penciptanya, iaitu Tuhan, bermula dengan rasa ‘bersyukur’, ‘takjub’, dan ‘menggeletar’. Dengan memahami betapa luasnya kekuasan dan Ilmu Allah, akan timbul rasa kagum dan takut kepada Allah, sekali gus menyedari betapa kecil dan hinanya diri kita sebagai makhluk.

Keratan 2 pula melukiskan bahawa wudhu adalah kaedah penyucian diri sebagai syarat untuk mendekatkan diri manusia dengan Tuhan melalui solat. Melalui sentuhan air ke kulit manusia, juga menginsafkan tentang nikmat dan rahmat Tuhan, seperti yang diseru Allah melalui ayat keenam surah Al-Maidah tentang pelaksanaan wudhu.

Sementara Keratan 3, membayangkan peringkat penyerahan diri manusia sebagai makhluk yang lemah dan serba tidak sempurna kepada al-Khalik, Tuhan yang memiliki seluruh kekuatan dan kebesaran. Detik-detik penyerahan seluruh jiwa dan raga ketika bersujud, menggambarkan sifat kekerdilan manusia yang dimaknai dengan kalimat-kalimat seperti ‘menggeletarkan’, ‘upayakah aku’ dan ‘menggigil takbirku’, iaitu gambaran tentang ketidakupayaan manusia di sisi Tuhannya. Pemahaman itu akan berkait dengan hakikat penciptaan manusia dan kesedaran kebergantungan manusia kepada Allah serta merasakan keindahan iman kepada Allah.

Perjalanan penyair ke kawasan Penatapan pula telah melahirkan 6 buah puisi berjudul “Puncak Penatapan”, “Jagung Bakar di Penatapan”, “Penatapan Ini, Bukan Untuk Dijual”, “Wahai Penatapan”, “Dalam Perjalanan Ini” dan “Tidak Dapat Kupetik”. Menerusi puisi paling panjang berjudul “Penatapan Ini, Bukan Untuk Dijual”, penyair merakamkan percakapan beliau dengan penduduk tempatan, yang mewakili penduduk miskin di daerah tersebut. Daripada percakapan tersebut, menggugah pemikiran dan perasaan berhubung beberapa isu, termasuk rasa patriotisme, alam sebagai warisan, dan kritikan terhadap sang politikus atau pengkhianat tanah air, sebagaimana yang diperlihatkan dalam rangkap-rangkap berikut;
Keratan 1: “Orang miskin/tetapi tak akan menjual Penatapan ini/untuk menjadi
kaya/walau daun sehelai” (2015:66)

Keratan 2: “Bunga, unggas/ serangga, semua ini/akan disimpan/untuk anak cucu/
Kalau kami mati, Penatapan ini ditakdir/terjual/gunung
ditarah/pohon, jeram hilang/itu bukan salah kami” (2015:67).

Keratan 3: “Itu kerja pengkhianat/bapak politik bertopeng/maling yang
akan/datang”

Selain itu, terdapat 5 buah puisi dalam subjudul yang dinamakan Brastagi , iaitu terdiri daripada “Acara Lelong”, “Pasar Besar Brastagi 1”, “Pasar Besar Brastagi 2”, “Naik Kuda, Bang”, dan “Delapan Catatan Perjalanan”. Melalui puisi “Pasar Besar Brastagi 1” misalnya, penyair melakar aktiviti dunia perdagangan yang bersifat pelbagai dan rencam. Lakaran tentang situasi pasar besar Brastagi tersebut bukan semata-mata bersifat deskriptif, atau sekadar ingin bercerita, sebaliknya lebih kepada memicu makna kritikan sosial yang lebih tajam. Bahagian pertama puisi ini, menunjukkan bahawa penduduk miskin berdagang secara kecil-kecilan, dengan berjualan sayuran dan buah-buahan tempatan sekadar untuk menampung kehidupan keluarga (2015:77), manakala penduduk yang terdiri daripada orang kaya terlibat dalam menjual balak, tanah untuk diterokai dan terlibat dalam korupsi. Bagi penyair, aktiviti menjual balak, menjual tanah peribumi dan korupsi adalah antara kegiatan besar yang berupaya menjejaskan kepentingan bangsa dan negara.
Seterusnya bahagian Sipiso-piso terdapat 4 buah puisi, yang berjudul “Gunung Akan Menggelungsur”, “Matahari Itu Jauh”, “Surelisme di Piso-piso” dan “Mungkin”. Melalui puisi yang dijadikan judul bagi kumpulan puisi ini, iaitu “Matahari Itu Jauh” penyair menaratif fasa-fasa perjalanan hidup manusia. Dengan menggunalan lambang ‘matahari’ dan ‘bayang’ sebagai premis atau mauduk penting untuk penyair mengkonsepsikan perasaan dan jiwa manusia terhadap kehidupan. Dengan mengambil latar alam semesta ciptaan Tuhan, dan ‘permainan bayang’ yang mengasyikkan, karya membangun pengertian peri mustahaknya manusia mengenali diri dan hakikat kebenaran yang sementara. Penggunaan imej matahari dan bayang menjadi teras idea sehingga konsep kesementaraan hidup manusia di dunia ini dapat dijejaki. Puisi ini mengkonsepsikan ‘bayang’ dan ‘matahari’ dalam pena’akulan falsafah kehidupan manusia, sekaligus menjadikan puisi ini bersifat ambiguiti.
Sementara di bawah sub-judul Danau Toba pula terhimpun 8 buah puisi yang masing-masing berjudul “Matahari Sudah Hampir Jatuh”, “Bertemu Danau Ini”, “Wahai Danau Indah”, ”Terpendam, Terendam”, “Danau Berkirim Salam”, “Dedaisme di Danau Toba”, “Bawalah Aku Pergi” dan “Tinggallah”. Puisi “Dedaisme di Danau Toba” mengangkat subjek sejarah dan ketamadunan bangsa melalui lakaran dadaisme, iaitu suatu aliran seni lukis yang sebelumnya berkembang daripada gerakan budaya, merangkumi seni visual, sastera, teater dan lain-lain. Melalui puisi ini, penyair mengimbau kegemilangan zaman awal masyarakat Melayu yang mengangkat posisinya sebagai bangsa yang bertamadun tinggi. Rakaman peradaban bangsa dicatatkan melalui huruf-huruf baji, iaitu system tulisan Sumeria klasik, manakala huruf Lontara (lontar), kawi dan rencong merakamkan aktiviti dan ciri-ciri peradaban bangsa Melayu melalui tradisi persuratan. Persoalan yang dilontar bagi menggugah pemikiran pembaca melalui puisi ini ialah kenapakah kegemilangan zaman lampau itu telah terpadam?

Bahagian terakhir bawah sub-judul ‘Ufuk Barat’ (mukadimmah) bagi kumpulan puisi ini memuatkan 5 buah puisi yang terhasil pada hari-hari terakhir penyair di perantauan di Indonesia. Masing-masing puisi berjudul “Selamat Tinggal, Indonesia”, “Pembaris Sejarah”, “Ke Mana Aku Akan Pergi”, “Terhenti Sejenak”, dan “Apakah Makna Bayang?”. Sebagai contoh, bagi menggambarkan perasaan dan pemikiran penyair pada hari-hari terakhir di perantauan, dapat ditelusuri melalui puisi “Selamat Tinggal, Indonesia”. Kesan yang diberikan oleh puisi ini, pembaca seakan membaca satu ucapan penutup/kesimpulan daripada seluruh perjalanan/perbincangan. Penyair merumuskan bahawa perjalanan beliau ke Indonesia memberi makna yang cukup besar kepadanya, terutama dalam mengayakan pengalaman, dan meluaskan horizon pengetahuan, sekali gus mempengaruhi proses kepenyairan beliau. Pengalaman istimewa tersebut memberikan beliau ilham dan idea yang melahirkan kuntum-kuntum segar dan indah dalam sejambak puisi, seperti yang diungkapkan dalam frasa-frasa seperti ‘gunung kabus/menjadi huruf-huruf/ sungai, danau, menjernihkan indera’ ‘janji matahari’ dan akhirnya membekaskan janji peribadi penyair kepada tanah indah yang diziarahi beliau. Penyair meninggalkan daerah kembaranya dengan seribu satu pengalaman dan dengan satu janji ketika telah kembali ke daerahnya sendiri, iaitu bahawa: “Aku akan selalu mengenangmu/dalam rindu, mimpi/ dan puisi’. Janji itulah telah melahirkan kumpulan puisi yang bermakna ini.

Demikian antara kesan-kesan pemikiran dan perasaan hasil perenungan dan apresiasi puisi-puisi yang terkumpul dalam kumpulan puisi Matahari Itu Jauh oleh penyair Rosli K. Matari. Menghayati bait-bait aksara yang tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi ini berupaya menyuguh pemikiran dan menggugah perasaan pembaca, yang pada fasa akhirnya menuju ke arah fungsi membijaksanakan pembaca, sebagaimana yang ditegaskan oleh SN Muhammad Haji Salleh dalam menakrif makna puisi. Beliau antara lain menyebut bahawa “puisi adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyairnya dan tradisinya. Dengan segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana".

3. 3. Karya dapat menimbulkan kesan visual yang imaginatif dan ekspresif.

Kesan visual yang imaginatif dan ekspresif lazimnya dapat dijelmakan melalui penggunaaan kata, ungkapan dan ayat dalam sesebuah puisi. Kesan boleh timbul daripada imej yg bersifat penglihatan, pendengaran, pembauan dan sebagainya. Tujuan penggunaaan imej untuk membantu pembaca mendekati serta menyelami pengalaman yang diungkap oleh penyair. Misalnya ungkapan; "tin, botol, sampah, plastik, apa sahaja sisa terbuang" (puisi “Rupiah Itu, Tuan”) atau lakaran objek “ lilin, pelita, lampu gasoline, atap buruk atau kotal” (puisi ‘Sudut Lain’) adalah antara imej-imej penglihatan yang menimbulkan kesan gambaran kemiskinan dan penderitaan hidup. Kesan ini dengan mudah dapat dicerapi oleh pembaca, manakala ungkapan “gunung, lembah, bunga/angin, pohon, sungai” (puisi “Puncak Penatapan”) adalah antara imej penglihatan yang menimbulkan kesan keindahan alam. Demikian antara cebisan daripada contoh yang dapat memperlihatkan bagaimana karya ini dapat menimbulkan kesan visual yang imaginatif dan ekspresif kepada pembaca.

3. 4 Karya mengemukakan nilai motivasi dan memartabatkan kebenaran unggul.

Nilai motivasi dan memartabatkan kebenaran unggul dapat dicernakan berdasarkan perbincangan terhadap sejauhmana karya ini dapat memberi kesan dari sudut rasa dan intelektual (nilai rasa, nilai makna) di atas. Mengapresiasi puisi-puisi dalam kumpulan ini, mengajak pembaca untuk menghayati nilai-nilai motivasi tersendiri. Antara lain seperti saranan penyair agar berkembara ke daerah baharu bagi meningkatkan pengetahuan manusia tentang kehidupan, memberi keinsafan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan.

Selain itu, puisi juga menonjolkan aspek-aspek yang menyarankan pembaca agar menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan, menghayati dan seterusnya berguru pada sejarah, selain menuntut rasa penghargaan terhadap nilai-nilai peradaban bangsa sendiri. Di samping itu, puisi dalam kumpulan ini juga berusaha untuk mewujudkan persefahaman dan kesatuan bagi membentuk kekuatan antara negara serumpun, menentang ketidakadilan dan korupsi dalam masyarakat, menghargai manusia dan memartabatkan nilai kemanusiaan, serta yang paling penting ialah memartabatkan kebenaran unggul dalam hubungan antara manusia sesama manusia dan hubungan antara manusia dengan Tuhan sebagaimana yang diungkapkan penyair melalui kebanyakan puisinya dalam kumpulan ini.

3. 5 Dari segi bahasa, pemilihan diksinya harus sesuai, ekonomis dan berkias, imejannya segar, kalimatnya interpretatif dan maknanya sesuai dengan konteks.

Bahasa menjadi medium penting dalam mengangkat keindahan atau estetik dalam sesebuah karya. Pemilihan diksi membangunkan persepsi yang tekal dari awal hingga akhir. Melalui kumpulan puisi Matahari Itu Jauh ini, gerak emosi dan pemikiran dikembangkan dengan imej alam dijadikan sebagai nadi yang menghidupkan karya. Penggunaan imej-imej yang banyak dipetik daripada alam seperti pohon, gunung-ganang, rawa-rawa, lumpur, hujan, taufan, angin, matahari, bulan, bintang, tasik, langit dan lain-lain digunakan penyair sejajar dengan gerak alir idea. Kaedah pemakaian diksi dan paduannya dengan imej alam ini mendorong sensitiviti dan kreativiti penyair beranjak dari suatu tahap ke tahap, sehingga idea sesebuah puisi itu dapat dicapai pada akhirnya.

Selain itu, kebanyakan puisi-puisi Rosli K. Matari dalam kumpulan puisi ini, atau puisi-puisi beliau yang lain, cenderung memanfaatkan penggunaan bahasa yang ekonomis dengan baris-baris pendek mendominasi karya mencipta nada pantas, tetapi harmonis serta mampu menimbulkan kesan apresiasi dalam fikiran khalayak. Secara umumnya, pemilihan dan penyususnan diksi dalam kumpulan puisi ini adalah sesuai, ekonomis dan sebahagiannya berkias, imejannya segar, kalimat-kalimatnya bersifat interpretatif dengan suratan dan siratan makna yang sesuai dengan konteks setiap subjek yang dimuatkan dalam puisi-puisi beliau dalam kumpulan ini.

4. Penilaian: Kelemahan Karya

Sebagai sebuah karya pemenang kedua dalam Sayembara Penulisan anjuran ITBM-PENA-BH 2015, agak sukar untuk ditemui kelemahan yang besar atau ketara pada kumpulan puisi ini. Dari segi anatomi buku, ternyata segala tata cara penerbitan telah dipatuhi secara hampir lengkap, manakala dari segi isi atau kandungan karya, kumpulan puisi ini telah mengungkapkan fikiran yang utuh, dengan kesan dari sudut rasa dan pemikiran, di samping menimbulkan kesan visual yang imaginatif dan ekspresif.

Walau bagaimana pun, dari satu sisi yang lain dikesan sedikit kelemahan pada kumpulan puisi ini, iaitu wujudnya tumpang tindih subjek atau idea antara puisi-puisi “Wahai Matahari”, “Matahari Itu Jauh”, “Matahari Sudah Hampir Jatuh” dan “Apakah Makna Bayang” dalam kumpulan puisi ini. Pertindanan idea dalam beberapa puisi tersebut dengan pemilihan diksi dan penggunaan imej yang saling berjerait itu didapati sedikit mengganggu, tetapi gangguan tersebut tidaklah sampai melonggar seluruh ikatan kesatuan dalam kumpulan puisi ini. Walau bagaimana pun, sekiranya hal-hal sedemikian dapat dihindari oleh penyair, maka ia akan memberi makna yang lebih bererti dan melonjak merit yang lebih tinggi kepada kumpulan puisi ini.

RUJUKAN
Ahmad Samin Siregar, 1994. Apresiasi Puisi. Medan: Universitas Sumetera Utara.
Ardan Adhi Chandra, 2017. “Jurang Pendapatan Orang Kaya dan Miskin di RI Masih Lebar” dalam detikFinance, https://finance.detik.com/10 Feb.
Chianyong Liow, 2004. The Politics of Indonesia-Malaysia Relations: One Kin, Two Nations, London : Routledge.
Dharmawijaya, 1987. Berkenalan Dengan Puisi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
K. Satya Murthy, 2009. How To Write a Book. New Delhi: APH Publishing Corporation.
Mahmud Yunus, 1957. Tafsir Al-Quran Karim, Jakarta: PT Hidakarya Agung.
Muhammad Haji Salleh, 1984. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Norhayati Ab. Rahman, 2015. “Hubungan Dua Hala Malaysia-Indonesia: Analisis Keberkesanannya” dalam 9th International Conference on Malaysia-Indonesia Relations (PAHMI 9), pada 15-17 Sept. 2015, di Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Yogyakarta, Indonesia.
Rahman Shaari, 1993. Memahami Gaya Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rosli K. Matari, 2015. Kumpulan Puisi Matahari Itu Jauh, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).