TEKNOLOGI AR HARAPAN BAHARU INDUSTRI BUKU MALAYSIA

TEKNOLOGI AR HARAPAN BAHARU INDUSTRI BUKU MALAYSIA

ITBM - 13-10-2017

SIARAN MEDIA

TEKNOLOGI AR HARAPAN BAHARU INDUSTRI BUKU MALAYSIA

Industri buku negara dijangka pulih semula jika teknologi Augmented Reality atau AR yang membolehkan pembaca melihat objek maya tiga dimensi pada buku fizikal berupaya menarik semula minat pembaca untuk kembali kepada buku, berbanding kandungan digital yang dibaca sepenuhnya menerusi gajet, khususnya telefon pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, ketika bercakap dalam forum “AR In Publishing: Disruption or Opportunity” di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2017 semalam berkata, AR adalah teknologi pintar yang memberi nilai tambah besar kepada sesebuah penerbitan, khususnya dalam bentuk keseronokan menimba ilmu.

Dengan bantuan teknologi AR, buku ibarat diberi nyawa dan seperti ‘dihidupkan’, kerana pelbagai visual, audio, video, ilustrasi 3D, malah peta lokasi boleh dimuatkan secara digital untuk melengkapkan kandungan, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza dibandingkan dengan kaedah membaca secara tradisi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, teknologi AR wajar dimanfaat kumpulan penerbit, kerana ia alternatif yang dilihat berpotensi mengembalikan minat pembaca kepada buku, sekali gus membantu memulihkan pasaran dalam industri yang kini dilihat sedang menjunam lemah.

Mohd Khair berkata, AR sudah terbukti mencetuskan fenomena di China, dan ia dikongsi Ketua Editor Chidren’s Fun Publishing, Grace Nie pada forum sama, berdasarkan pengalaman mereka menerbitkan majalah sains kanak-kanak antarabangsa “Discovery”, edisi negara tersebut.

Menurut Grace, peralihan minat pembaca muda China kepada kandungan digital telah menyebabkan edaran Discovery merosot teruk pada beberapa tahun kebelakangan. Namun selepas teknologi AR diperkenalkan, permintaan edaran kembali meningkat, malah jumlah langganan naik 20 peratus berbanding dengan sebelumnya.

Turut bercakap dalam forum sama ialah Edmund Lim, penulis buku-buku biografi pemimpin Singapura yang diundang berkongsi faedah teknologi AR dalam kerja-kerja penulisan.

Kelebihan utama AR ialah ia memberi ruang tanpa batas kepada penulis untuk melengkapkan penulisan tanpa perlu menulis semua perkara berkaitan. Antara contoh ialah menandakan peta lokasi tempat lahir subjek bagi memudahkan pembaca berkunjung ke lokasi, menyertakan klip video wawancara keluarga, berkongsi audio koleksi ucapannya, malah melengkapkan kandungan dengan animasi yang bertujuan memperlihatkan peristiwa atau kejadian tertentu

Selain itu, penambahan maklumat terkini juga boleh dilakukan sendiri oleh penulis atau penerbit pada bila-bila masa, sekali gus menjadikannya edisi sentiasa dikemas kini,” katanya.

Melihat AR sebagai peluang yang perlu dimanfaat sepenuhnya, ITBM menurut Mohd Khair telah mula mengaplikasikan teknologi itu secara percubaan menerusi tiga buku terbitannya, iaitu “Malaysia Kita: Buku Aktiviti Kepelbagaian Budaya Untuk Golongan Muda Malaysia”, “Malaysian Superstar Athletes: Azizulhasni Awang”, dan terkini, “Sang Kancil and The Tiger”.

“Kami teruja dengan hasilnya, malah berpandangan bahawa teknologi ini adalah penanda aras kepada masa hadapan baharu industri buku tempatan dan antarabangsa. Pada masa sama, ia sukar dinafikan sebagai antara alternatif terbaik yang wujud ketika ini bagi tujuan membangkitkan minat serta rasa cinta kepada ilmu. Justeru, AR wajar diaplikasi, khususnya kepada buku yang diterbitkan untuk matlamat pendidikan,” katanya.

Berpuas hati dengan percubaan dibuat menerusi tiga judul tersebut, Mohd Khair mengaku ITBM kini sedang menimbang beberapa judul lain untuk disuntik teknologi serupa.

Kami percaya, teknologi ini akan berkembang lebih maju dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dan justeru, langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan kita daripada ketinggalan, terutama apabila faedah dan keberkesanannya terbukti dapat memberikan manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Forum ini dianjurkan oleh MXRI International, organisasi yang bertanggungjawab membangunkan teknologi AR, dan dikendalikan pengasas bersama MXRI International Singapura, Gerald Cai. Turut menjadi panel ialah Pengarah Penerbitan World Scientific Singapura, Chua Hong Koon.