SM ZAKIR DIPILIH ARTIS RESIDEN DI TAIWAN

SM ZAKIR DIPILIH ARTIS RESIDEN DI TAIWAN

ITBM - 15-09-2017

SIARAN MEDIA 
SM ZAKIR DIPILIH ARTIS RESIDEN DI TAIWAN

KUALA LUMPUR, 15 September – Penulis Malaysia, Syed Mohd Zakir bin Syed Othman (SM Zakir) dipilih sebagai Artis Residen dalam Projek Residen Antarabangsa, Artist-in-Residence Taipei (AIR Taipei) anjuran Agensi Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan (TECO). Projek yang turut disertai peserta antarabangsa dalam pelbagai bidang ini merupakan platform Taiwan memvariasikan kebudayaan merentasi batas sempadan global. Ia juga bertujuan bagi menggalakkan silang budaya antara Taiwan dengan negara peserta terpilih.

Selaku Artis Residen dalam bidang penulisan, SM Zakir diberikan pelbagai kemudahan antaranya penginapan dan ruang studio untuk berkarya selama sebulan pada Oktober ini di Taipei Artist Village-Treasure Hill. Beliau turut akan dipertemukan dengan penulis-penulis Taiwan selain kemudahan lawatan ke beberapa lokasi penting di Taiwan. Penulis Malaysia lain yang turut terpilih dalam program ini adalah Bernice Chauly.

SM Zakir merupakan penerima ke-35 Anugerah Penulisan S.E.A. pada 2011 yang telah menulis secara serius sejak 1990. Beliau telah menghasilkan beratus cerpen dan esei serta puluhan puisi yang turut melayakkan beliau menerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2010 di Jakarta, Indonesia. Di peringkat kebangsaan, pelbagai anugerah telah diperoleh antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Anugerah Sastera Negeri Kelantan dan lain-lain.

Antara karya beliau yang mendapat ulasan baik daripada pengkritik sastera ialah Bidadari Burung (ITBM, 2012), Ahli Politik (Nusa Buku, 2012), kumpulan puisi Aroma (ITBM, 2015), Perjalanan Sang Zaman (ITBM, 2015), Sekeping Roh di Atas Bantal (Pustaka Nusa, 2005), dan banyak lagi.