KOMIK MALAYSIA KE TAIWAN

KOMIK MALAYSIA KE TAIWAN

ITBM - 15-09-2017

SIARAN MEDIA
KOMIK MALAYSIA KE TAIWAN

KUALA LUMPUR, 15 September – Tiga komik Malaysia akan diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan diedarkan di pasaran Taiwan berdasarkan persetujuan yang dimeterai hari ini antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Agensi Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan (TECO), dan Han Culture Centre Sdn. Bhd.

Komik yang dipilih adalah Kampung Boy (Datuk Lat), Sang Kancil dan Buaya (Jaafar Taib dan Rahimidin Zahari), serta Entimuk dan Kejuang (Isabella Jali dan Al-Zafran Hassan) yang akan diedarkan melalui tiga penerbit di Taiwan. Manakala tiga karya Taiwan turut akan diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk pasaran pembaca di Malaysia melalui ITBM, iaitu Ka Pu Lei’s Wing, Waiting & Hope dan The Little Blue Dress.

Penterjemahan ini adalah sebahagian daripada projek anjuran Kementerian Kebudayaan, Republik China (Taiwan) melalui 2017 Spotlight Taiwan Project. Ia bertujuan bagi mengembangkan silang budaya serta menonjolkan identiti kebudayaan antara Malaysia dan Taiwan melalui penerbitan buku.

Penterjemahan dan penerbitan buku dengan pihak Taiwan ini merupakan lanjutan daripada Antologi Cerpen Malaysia-Taiwan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin melalui ITBM. Dalam sesi penandatangan perjanjian antara tiga pihak terbabit, Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM menyatakan kelangsungan kerjasama penerbitan antara ITBM dan pihak Kerajaan China (Taiwan) membuktikan keseriusan mereka untuk mengetahui lebih mendalam tentang budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.

“Malah tiga buku yang dipilih ini merupakan citra sebenar masyarakat Malaysia termasuk buku Entimuk dan Kejuang yang mengisahkan etnik di Sarawak. Secara tidak langsung, pendedahan tentang budaya Malaysia dapat diterapkan kepada pembaca di Taiwan, khususnya kanak-kanak yang merupakan sasaran utama ketiga-tiga komik tersebut,” kata Mohd Khair.

Turut hadir dalam sesi penandatangan perjanjian tersebut adalah Dato’ Goh Hin San, Pengerusi Han Culture Centre Sdn. Bhd. dan Peggy Pei-Chi Chou, Pengarah Bahagian Kebudayaan, TECO Malaysia.