Wacana & Pelancaran Buku "Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969" & "Bangsawan Helah Behena" Karya SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Wacana & Pelancaran Buku "Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969" & "Bangsawan Helah Behena" Karya SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan


SIARAN MEDIA
Dato’ Seri Anwar Ibrahim Lancarkan Dua Buku Karya Dato’ Dr. Anwar Ridhwan
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------        

KUALA LUMPUR, 27 September – Dua buah karya terkini tulisan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969 terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bangsawan Helah Behena terbitan Pekan Ilmu Publications disempurnakan pelancarannya oleh YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam satu majlis di Wisma ITBM.

Majlis anjuran ITBM dengan kerjasama Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Pekan Ilmu Publications ini turut dihadiri Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Mohd Rizon Juhari (Rektor ASWARA), Encik Sakri Abdullah (Pengurus Besar ITBM) dan Encik Abdul Halim Pekan Iskin (Pengurus Pekan Ilmu Publications).

Cerita Saya – Sebuah Memoir Peribadi Anwar Ridhwan
Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969 merupakan buku biografi pertama tulisan Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Buku yang mengandungi 12 bab ini menghimpunkan bukan sahaja kisah kehidupan penulis dan keluarga, malah turut diselitkan dengan pandangan penulis terhadap pelbagai isu – antaranya, isu bahasa Melayu dan isu perkauman yang disoroti menerusi kejadian 13 Mei 1969. Menerusi buku ini, Anwar Ridhwan berkongsi bahawa perubahan tidak memerlukan nostalgia masa lampau, tetapi bagaimana mempersiapkan diri menangani keperluan-keperluan hidup dalam persekitaran dan teknologi yang baharu. Beliau juga berpandangan, manusia beradab tinggi menyelesaikan sengketa di meja rundingan, sementara orang gasar menyangka penyelesaian dapat dicapai melalui pertumpahan darah.

Helah Behena – Angkat Teater Tradisional Bangsawan
Naskhah ini mengangkat semula teater tradisional bangsawan serta memartabatkan lagi pantun sebagai karya agung Melayu genre puisi. Kedua-dua warisan seni budaya bangsa ini disenyawakan dengan baik dalam naskhah tersebut. Cerita yang melibatkan kembara putera-putera raja ini juga memilih hukum sebab dan akibat serta plot yang agak berbeza, untuk memberi ruang pilihan serta perspektif yang lebih segar sebagai jalan keluar daripada sengketa istana.

Terdahulu dalam majlis sama turut diadakan wacana ilmu yang mengupas lebih lanjut dan terperinci mengenai dua karya ini dan dunia kepengarangan Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Sesi wacana ini menampilkan dua tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia kepengarangan dan kesusasteraan, iaitu Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Zakaria Ariffin (penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2001). Kupasan ilmu ini dikendalikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad selaku moderator sesi. Acara ini antara lain untuk berkongsi pandangan dan merungkai karya yang mampu menjadi panduan dan mencambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat umum. Wacana sebegini satu usaha atau inisiatif yang elok diteruskan agar naskhah sastera tidak terpinggir hanya kerana tidak difahami dan akhirnya terkubur tanpa sebarang usaha pemartabatannya.

Buku Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969 dijual pada harga RM50.00 (RM55.00 bagi Sabah & Sarawak) dan boleh dibeli terus di Kedai Buku ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju atau secara dalam talian melalui www.itbm.com.my dan Whatsapp: 0192219015. Manakala, Bangsawan Helah Behena dijual pada harga RM10.00 senaskhah dan boleh dibeli terus dari Pekan Ilmu Publications.