Riyadh International Book Fair 2017: Malaysia Negara Tetamu Kehormat RIBF2017

Riyadh International Book Fair 2017: Malaysia Negara Tetamu Kehormat RIBF2017


PAVILION MALAYSIA SEBAGAI NEGARA TETAMU KEHORMAT PESTA BUKU ANTARABANGSA RIYADH DIBUKA RASMI

1.      Pavilion Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (PBAR) dibuka secara rasminya hari ini secara bersama oleh Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr. Adel Zaid al-Toraifi dan Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC). Acara pembukaan turut diserikan dengan persembahan tarian zapin oleh pelajar Sekolah Seni Johor (SSJ) serta penyerahan potret Raja Salman hasil ilustrasi pelukis Naim Hamid Hamidin dari sekolah yang sama.

2.      Dr. Adel dan Dato’ Seri Mahdzir turut meluangkan masa melihat bahan-bahan pameran di Pavilion Malaysia yang terdiri daripada 517 buku (termasuk e-buku) terbitan 19 penerbit Malaysia yang menyertai delegasi Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat PBAR 2017.

3.      Pavilion yang berkeluasan 72 meter persegi bertema “Pembaca Muda: Projek Masa Depan Tanpa Batasan” (Young Reader: Limitless Future Project), mengetengahkan konsep rak buku yang diilhamkan daripada pokok sebagai simbolik aktiviti pembacaan perlu dibaja supaya terus membesar sehingga memberikan pulangan pada masa hadapan. Ia selari dengan “Visi Saudi 2030” yang membabitkan modal insan cemerlang generasi muda hari ini, antaranya melalui usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

4.      Di perasmian PBAR 2017, Dato’ Seri Mahdzir berucap dengan menzahirkan rasa penghargaan kepada pihak Kerajaan Arab Saudi atas pemilihan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama atau negara Asia ketiga selepas Jepun dan India (negara ke-10 di dunia) dipilih sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku terpenting Arab Saudi yang merekodkan kehadiran lebih 900 penerbit dan lebih dua juta pengunjung dari 29 negara seluruh dunia. Menurutnya, ia merupakan pencapaian terbaik bidang penerbitan buku Malaysia selepas menjadi Negara Tetamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo 2014 dan Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2016. Setentunya PBAR 2017 merupakan platform kepada usaha meningkatkan nuansa maklumat dan sumber ilmu antara Kuala Lumpur dan Riyadh.

5.      Bagi menjadikan usaha tersebut memberikan impak positif, pelbagai pengisian dihidangkan kepada pengunjung PBAR 2017 di Pavilion Malaysia dan Auditorium Utama RICEC. Tiga pembentangan kertas kerja yang berlangsung di Auditorium Utama RICEC akan menampilkan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada 13 Mac; pakar ekonomi syariah, Dato’ Dr. Mohd Daud Bakar (9 Mac); dan kartunis terkenal, Dato’ Lat (13 Mac) yang berkaitan idea strategik dalam pembangunan modal insan dan ekonomi.

6.      Manakala Pavilion Malaysia setiap hari akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya jualan buku dan perbincangan hak cipta karya, pelancaran buku, diskusi buku, persembahan Zapin dan muzik Ghazal pelajar SSJ, selain bacaan puisi dan demonstrasi karya oleh Jaafar Taib, Dr. Siti Zainon Ismail, Dr. Ramzah Dambul dan Naim Hamid Hamidin.

7.      Status Negara Tetamu Kehormat memberi banyak kelebihan kepada penerbit Malaysia, termasuk komitmen penganjur mempertemukan dengan 10 penerbit terbesar Arab Saudi bagi rundingan urus niaga penerbitan. Komitmen tersebut turut diserlahkan dengan tajaan pelbagai aspek dalam menjayakan kehadiran Malaysia antaranya tajaan kos visa dan penginapan di hotel bertaraf lima bintang untuk semua 83 delegasi Malaysia, pembinaan Pavilion Malaysia, pengangkutan delegasi Malaysia serta hidangan jamuan sepanjang berada di Riyadh.

8.      Delegasi Malaysia yang diselaraskan oleh empat agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Kebangsaan Buku Malaysia dan Perbadanan Kota Buku turut disertai penerbit kerajaan dan swasta termasuk penerbit universiti (Universiti Malaysia Sabah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Utara Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi MARA), Ana Muslim, IBFIM, E-Magineers, Oyez! Books, dan Green Dome yang berkampung sepanjang 10 hari berlangsungnya PBAR 2017 sehingga 17 Mac di RICEC.