Sidang Media Program Sastera @ Diversecity 2017

Sidang Media Program Sastera @ Diversecity 2017


TIGA ACARA BESAR, 10 NEGARA ASEAN MERIAHKAN PROGRAM SASTERA SEMPENA DIVERSECITY 2017
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perpaduan antara negara kali ini dipererat lagi atas platform seni pelbagai genre sempena DIVERSECITY 2017: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur. DIVERSECITY 2017 yang menampilkan lima (5) cabang seni utama, iaitu tarian, sastera, muzik, teater dan seni visual yang menjanjikan pengisian acara seni terbaik. Merupakan penganjuran untuk tahun ketiga, DiverseCity 2017 (genre Sastera) terus dikuratorkan oleh Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bagi melaksanakan tiga acara, iaitu Monodrama 3 Negara; Puisi & Syair ASEAN 2017; dan KL LePark sepanjang September ini di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur.

 

MONODRAMA 3 NEGARA: Keunikan yang mempesonakan

Monodrama 3 Negara melibatkan tiga negara rumpun, iaitu Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam. Monodrama dari Malaysia akan dimainkan oleh Sani Sudin dengan karya Di Bawah Tiang Lampu, Indonesia diwakili sutradara Ken Zuraida dan pelakon Sinta Debeturu dengan karya Cemarawungi. Manakala Brunei Darussalam pula diwakili sutradara Zefri Ariff dan pelakon Shafiee Mostar membawa naskhah berjudul Cakra bagi pentas monodrama mereka.

 

Monodrama ini dipersembahkan dengan visi untuk meningkatkan perkembangan daya kreatif yang secara tidak langsung mencetuskan inspirasi kepada masyarakat terhadap apresiasi seni dan budaya. Penonton juga turut berpeluang mendengar bicara karya yang akan mengupas naskhah monodrama yang dipentaskan sebaik sahaja persembahan selesai. Pementasan dan ruang bicara ini menggalakkan minat masyarakat khususnya generasi muda untuk mengeksplorasi seni dan budaya ke arah perkembangan nilai-nilai kebersamaan dan kesejagatan masyarakat serumpun.

 

Monodrama ini dipentaskan selama tiga (3) malam bermula 15 hingga 17 September 2017, pukul 8.45 malam di Laman Wau, Kompleks Kraf Malaysia. Tiket RM15.00 boleh didapati di Wisma ITBM, di Kompleks Kraf (sebelum pementasan) atau menerusi pembelian online di alamat e-mel monodrama@itbm.com.my atau talian Whatsapp: 019-221 9015.

 

KL LePARK: Interaksi seni, penulisan dan masyarakat

Penganjuran kali kedua KL LePark dengan kerjasama Kota Buku diadakan sebagai medan pertemuan antara pengkarya dan masyarakat, serta untuk mengubah persepsi ‘seni sukar difahami’ kepada merakyatkan seni. Penganjuran ini secara tidak langsung memperlihatkan karya-karya Malaysia arus perdana serta alternatif saling berinteraksi dan melibatkan masyarakat untuk menjadikan seni itu budaya hidup.

Diadakan sepanjang hari sempena Hari Malaysia, iaitu pada 16 September 2017 di Siar Kaki Parkson, Maju Junction Mall, program ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti seni sastera seperti wacana intelektual, deklamasi puisi, nyanyian lagu puisi dan syair, persembahan wind orchestra serta jualan buku melibatkan lebih 25 penerbit pelbagai genre.

Antara pengkarya dan pemuzik yang terlibat ialah Ridzuan Harun, Ramlee Wahab, Fairul Pujangga, Wan Yusof, Zaen Kasturi, Zakaria Ariffin, Petak Daud, Ashikin M, Zoul Yazid, Alana Azlan, Sheena Baharudin, pemain sape Ruhizam Idris, Adinda Amiro, kumpulan muzik Budak Nakal Hujung Simpang, S.O.G, Wind Orchestra Sekolah Sains Selangor, Wani Ardy and The Guitar Polygamy, Liyana Fizi dan ramai lagi. Manakala wacana intelektual santai bersama-sama pemain industri buku negara membariskan panel Mohd Khair Ngadiron (ITBM), Pak Chong (Gerak Budaya) dan Amir Muhammad (Buku Fixi).

PUISI & SYAIR ASEAN 2017: Perjuangan Bangsa

Diadakan selama dua hari bermula 29 hingga 30 Oktober 2017. Program kali ini dibahagikan kepada tiga segmen puisi dan syair, iaitu Forum Puisi dan Syair ASEAN 2017; Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi Akrab ASEAN; dan Persembahan Puisi dan Syair ASEAN. Menariknya, acara ini menghimpunkan lengkap 10 buah negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Mengambil tema Perjuangan Bangsa (Struggle of The Nation), Forum Puisi dan Syair ASEAN 2017 akan diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP merupakan format baharu yang menggabungkan elemen puisi moden dan tradisional, iaitu sajak dan syair. Seminar dan forum ini akan menampilkan 18 pemakalah yang mewakili seluruh ASEAN yang akan membentangkan pandangan atau dapatan kajian tentang genre puisi dan syair menurut pengalaman dan latar budaya karya negara masing-masing. Antara pemakalah terbabit adalah Dr. Siti Zainon Ismail, Zaen Kasturi, Dr. Ariff Mohamad, Shafa’atussara Silahudin, Syahidatul Munirah Badrul Munir (dari Malaysia); Maman S. Mahayana, Rusli Marzuki Saria, Idawati M.A dan Ufatin CH (Indonesia); Noridah Kamari (Singapura); Dr. Haji Mohd Ali Raden@H.Mar (Negara Brunei Darussalam); Chheangly Yeng (Kemboja); Profesor Madya Phaitoon Thanya (Thailand); Mookie Katigbak Lacuesta (Filipina), Nguyen Phan Que Mai (Vietnam); Aung Khin Myint (Myanmar); dan Soukhee Noraslip@D.Done Jae (Laos).

Penyertaan terbuka kepada umum dengan yuran penyertaan sebanyak RM30.00 (berserta buku Perjuangan Bangsa dalam Puisi). Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh didapati di www.itbm.com.my.

Program anjuran ITBM dan DBP yang mendapat kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Akademi Seni ND Lala ini turut diselitkan dengan dua persembahan bagi meraikan kepelbagaian budaya ASEAN, iaitu Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi Akrab ASEAN (pada 29 September 2017 di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa) dan Persembahan Puisi dan Syair ASEAN (pada 30 September di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka). Kedua-dua acara persembahan ini terbuka kepada umum tanpa sebarang caj atau bayaran tiket masuk.

Program Sastera@DIVERSECITY 2017 yang berlangsung sepanjang September ini menghidangkan dunia kesusasteraan terbaik nusantara dengan penglibatan negara-negara Asia Tengggara yang bukan sahaja diadakan untuk tatapan generasi tempatan bahkan untuk jaringan rentas generasi pencinta sastera ASEAN. Layari www.DIVERSECITY.my untuk maklumat lanjut.