Sepetang Merai Khalid Salleh & Pelancaran Buku "Khalid Salleh Di Mata Kami"

Sepetang Merai Khalid Salleh & Pelancaran Buku "Khalid Salleh Di Mata Kami"


KUALA LUMPUR, 23 September – Sebagai satu bentuk penghargaan kepada seniman dan karyawan Khalid Salleh yang telah banyak berkarya dan mendidik masyarakat menerusi hasil tulisan serta persembahan seni beliau, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Galeri Seni Morne menganjurkan Sepetang Merai Khalid Salleh (Kurator: U-Wei Bin HajiSaari) dan Pelancaran Buku “Khalid Salleh Di Mata Kami” yang berlangsung di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Majlis yang didedikasikan khusus untuk Allahyarham Khalid Salleh ini turut dihadiri waris keluarga, iaitu Puan Hamidah Abdullah, isteri Allahyarham serta anak-anak beliau, selain rakan-rakan seperjuangan, pengikut setia karya dan persembahan beliau selain pencinta seni yang sangat mengenali Khalid Salleh di pentas teater dan bidang penulisan sastera.

Khalid Salleh – Tokoh Seniman Berjiwa Besar
Namanya sangat sinonim dengan dunia teater di samping bidang penulisan kreatif seperti puisi, kritikan (teater sebagainya). Bakat alam yang dimilikinya bersesuaian dengan jalur kehidupannya yang menjadi pokok sentuhan kerja-kerja kreatifnya. Beliau yang bermula sebagai penjual ubat akhirnya lebih dikenal sebagai penyair, pengarah, serta pelakon pentas, filem dan televisyen. Sebagai seniman sejati, Khalid membesar dan dibesarkan dalam kalangan kelompok anak seni yang dinamakan Kumpulan Anak Alam pada dekad 70-an yang terdiri daripada pelukis, penyair, aktivis teater dan sebagainya.

Dalam bidang seni, Khalid Salleh turut mengarah drama-drama antaranya Bertam-Bertam Bukan Semambu (1984), Umbut Mayang Mengurai (1985), Sijil Penuh (1987), Mat Cincai (1988), Pawang (1989), Si Bereng-Bereng (1990), Gong Gedombok (1992), Ningg… (1992), Kena Main (1994), Brang Breng Brung (1996), Seng Ora-Ora (1998), Hang Tak Tuah (1999), Pandir Si Pandir (2001), Bangsat (2005), Benda Sulit (2005), Kena Main (2015) dan lain-lain. Beliau juga merupakan dramatis Malaysia pertama yang mementaskan teater di festival teater antarabangsa seperti ke 2nd Asia Monodrama Festival di Taiwan (1989), 3rd Asia Monodrama di Jepun (1991), Non-Verbal Theatre Festival di Culcutta (1992) dan New Delhi (1993) dan pada 1995 beliau mewakili Malaysia bersama U-Wei Bin HajiSaari (Pengarah filem Kaki Bakar) ke Cannes Film Festival, Perancis.

Dalam bidang penulisan pula, buku beliau yang pernah diterbitkan adalah Bukan Apa-apa (1988) dan Melayu Hilang di Dunia (2012) serta lima buah buku yang diterbitkan oleh ITBM, iaitu Pandirnya Si Pandir (2012), Kalau Aku Jadi PM (2014), Kena Main (2015), selain dua judul antologi yang memuatkan karya beliau, iaitu Antologi Skrip Drama Pentas: Monolog 5 Negara (2015) dan Antologi Drama Malaysia & Singapura (2015).

Insan seni yang cukup berbakat ini turut diiktiraf dengan pelbagai anugerah antaranya, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik di Taipei menerusi filem Jogho (1999), Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin TV3 (1999), Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-14 (1999), Anugerah Karyawan Teater Anugerah Seni Negara (2006), dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin 2017 menerusi filem Hanyut (2016). Dalam penulisan puisi Khalid pernah memenangi Hadiah Sastera ESSO-GAPENA (1984-85) melalui puisi “Percikan Sinar”.

Sepetang Merai Khalid Salleh
Sepetang Merai Khalid Salleh diinspirasikan berdasarkan puisi nukilan Khalid Salleh dalam bukunya berjudul kumpulan puisi Kalau Aku Jadi PM. Acara ini adalah idea awal dan dikoreografkan oleh U-Wei Bin HajiSaari, pengarah filem dan teater terkenal di Malaysia.

Menariknya pada acara tersebut, bait-bait puisi daripada buku Kalau Aku Jadi PM akan disampaikan oleh individu daripada pelbagai latar belakang dan generasi yang pernah berdamping, berjuang, berurusan serta mengikuti perjalanan seni Khalid Salleh, seperti Adinda Amiro, Sani Sudin, Sabri Yunus, Dato’ Ramli Sarip, Raja Ahmad Aminullah, Ladin Nuawi, Azman Hassan, Hamidah Hassan, Tam Shuhaimi, Mohd Khair Ngadiron, Yusuf Fansuri, Israr Khalid, Morne Hashim, Charissa Nur dan Melissa Alwin serta U-Wei bin HajiSaari sendiri. Setiap individu akan mempersembahkan puisi daripada Kalau Aku Jadi PM dalam bentuk yang pelbagai, mengikut kreativiti masing-masing.

Khalid Salleh di Mata Kami
Dalam majlis sama, sebuah buku terbitan terkini ITBM yang didedikasikan khas buat Khalid berjudul Khalid Salleh di Mata Kami turut dilancarkan. Buku ini menghimpunkan esei mengenai pandangan, pengalaman dan kenangan bersama-sama Khalid Salleh yang disumbangkan oleh 37 penyumbang karya pelbagai generasi dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, iaitu Amiruddin Ali Hanafiah, Anuar Manshor, Azalan Hussain @ Sinaganaga, Fai Zakaria, Fauziah Nawi, Free Hearty, Hartinah Ahmad, Irwan Muhammad Zain, Ismail Abdullah, Israr Khalid, Ken Zuraida, Khir Rahman, Ku Seman Ku Hussain, Lat, Luhur Kayungga, M. Nasir, Mohamad Saleeh Rahamad, Mohd Khair Ngadiron, Puad Bebit, Pyanhabib, Ramli Sarip, Razali Mohd Yusoff, Roslan Madun, S.M. Zakir, Sabri Yunus, Saidin Omar @ Adinda Amiro, Saifullizan Yahaya, Sakri Abdullah, Sani Sudin, Siti Jasmina Ibrahim, Shamsudin Othman, Supra, Sutex Haron, U-Wei bin HajiSaari, Yusoff Osman, Zainal Rashid Ahmad dan Zakaria Ariffin serta kata pengantar yang ditulis oleh Tan Sri Johan Jaaffar.