Sambutan Aidilfitri 1438H & Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan PBAKL 2017 Anjuran ITBM

Sambutan Aidilfitri 1438H & Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan PBAKL 2017 Anjuran ITBM


Kuala Lumpur, 20 Julai – Serangkap pantun yang dihasilkan oleh seorang pelajar membawa tuah kepada beliau apabila berjaya memenangi hadiah utama Peraduan Beli Buku ITBM & Menangi Koleksi Terbitan 2017 bernilai RM20,000 yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017. Pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah berkenaan disempurnakan oleh YB Budiman Mohd Zohdi, Pengerusi ITBM dalam Majlis Sambutan Aidilfitri 1438H & Penyampaian Hadiah Peraduan PBAKL 2017 Anjuran ITBM di Wangsa Maju, hari ini. Mohd Haniff Mohammad Yusoff yang dipilih sebagai pemenang menerusi slogan terbaik berbentuk pantun daripada perkataan ITBM menerima hadiah utama berupa koleksi buku terbitan ITBM 2017 selama setahun bersama-sama dua pemenang lain, iaitu Nur Haslaily Mohd Nasir dan Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub yang masing-masing menerima koleksi buku terbitan ITBM 2017 selama enam (6) bulan dan tiga (3) bulan. Manakala, tujuh pemenang sagu hati peraduan sama membawa pulang baucar buku ITBM bernilai RM200 setiap seorang. Penganjuran peraduan ini berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur dalam kalangan penjawat awam/swasta, golongan profesional, ahli akademik, pelajar dan suri rumah. Kepelbagaian latar pembeli ini jelas menunjukkan bahawa buku ITBM menepati cita rasa pembaca mencakupi pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Dalam majlis sama turut diumumkan pemenang bagi Peraduan Kritik Buku ITBM di Facebook/Blog yang julung kali dianjurkan sebagai ganti kepada Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog. Sehingga tarikh tutup peraduan pada 31 Mei 2017, sebanyak 46 penyertaan telah diterima dalam tempoh penganjuran selama sebulan. Bagi penganjuran pertama kali ini, kritikan buku yang ditulis oleh Norhayati Ab. Rahman dipilih sebagai pemenang pertama peraduan dan membawa pulang hadiah berupa koleksi buku terbitan ITBM 2017 selama setahun. Hadiah tempat kedua berupa koleksi buku terbitan ITBM 2017 selama enam (6) bulan pula dimenangi oleh Ridzuan Kamis dan Abdul Karim Mohd pula dipilih sebagai pemenang tempat ketiga yang membawa pulang koleksi buku terbitan ITBM 2017 selama tiga (3) bulan. Manakala, tujuh pemenang sagu hati lain menerima baucar buku ITBM bernilai RM200 setiap seorang. Turut diadakan Jualan Garaj ITBM 2017 bertemakan Beli Buku Guna Duit Raya ini menawarkan pilihan buku berharga RM3, RM5 dan RM10 serta diskaun lain sebanyak 30%. Penganjuran jualan buku ITBM secara besar-besaran bagi tahun ketiga ini menawarkan 1,835 judul buku pelbagai genre terbitan ITBM. Jualan istimewa ini akan berlangsung selama 10 hari bermula hari ini (20 Julai) hingga 30 Julai 2017 di Pekarangan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju (dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang) atau secara dalam talian di www.itbm.com.my. Jualan ini diadakan sebagai galakan kepada masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu dengan harga berpatutan sempena musim perayaan ini yang menepati hashtag #BeliBukuGunaDuitRaya selain memupuk minat membaca untuk pelbagai peringkat umur. Majlis Sambutan Aidilfitri 1438H & Penyampaian Hadiah Peraduan PBAKL 2017 anjuran ITBM ini turut menjadi medan pertemuan dan beramah mesra bersama-sama Sasterawan Negara, penulis, penterjemah, jurubahasa, persatuan penulis serta penggiat industri selain mengeratkan hubungan silaturahim. Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu dan deklamasi puisi oleh penulis serta karyawan tanah air sambil menikmati pelbagai juadah enak bertemakan hari raya.

# # # # #