Pelancaran Buku "Amanah Mohamad Sabu"

Pelancaran Buku "Amanah Mohamad Sabu"


TEMERLOH, 22 September – Institut Terjemahan & Buku Malaysia buat julung kalinya bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) menerbitkan sebuah buku berjudul Amanah Mohamad Sabu dilancarkan hari ini. Buku tulisan Zinitulniza Abdul Kadir ini memerihalkan perjalanan dan perjuangan YB Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia yang juga Pengasas serta Presiden Parti Amanah Negara seawal penglibatan dan perjuangannya dalam politik sehinggalah kini beliau berada pada posisi sebagai menteri kabinet kerajaan baharu. Pelancaran buku ini disempurnakan oleh YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Seri (Dr.) A. Samad Said dalam satu majlis sempena sambutan ulang tahun ke-3 Parti Amanah Negara.

Buku ini memuatkan 20 bab memuatkan kisah pahit getir kehidupan dan perjuangan YB Mohamad Sabu yang penuh dengan cabaran, dan pastinya membuka mata pembaca terutamanya golongan muda yang ingin mempersiapkan diri berjuang dalam bidang politik. Beliau bermula dari bawah dengan melibatkan diri dalam politik negara sejak 1975, ketika menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebelum menyertai PAS pada 1981 – realitinya pengalaman berjuang dalam politik adalah tempoh panjang yang banyak mengumpul pahit dan sakit berbanding kemanisan dan gemerlapan indah kehidupan. Selain tidak berhenti difitnah, beliau juga ‘bekas banduan’ – angkara musuh politik yang seakan tidak pernah kenal putus asa mencari kesilapannya, termasuk ditahan dua kali di Kem Kamunting di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Tetapi, YB Mohamad Sabu tidak pernah mengalah atau membiarkan semua tohmahan diterima berparut lama, kerana beliau meletakkan misi menyelamatkan negara sebagai matlamat utama yang tidak boleh digadaikan.

Selain itu, melalui buku ini juga, YB Mohamad Sabu turut berkongsi sebahagian sisi dirinya yang tidak diketahui umum. Tidak wajar untuk mengadili beliau sebagai ahli politik santai berdasarkan jenaka hebatnya di pentas, kerana beliau sebenarnya seorang pemikir. Dan buku ini juga menjadi bukti bagaimana beliau adalah sosok penting yang mengubah hala tuju politik Malaysia hari ini.

Secara dasarnya, ITBM mengambil inisiatif menerbitkan buku ini dengan tujuan supaya perkongsian oleh seorang tokoh yang boleh dikatakan sebagai pemimpin tulen ini dapat menjadi iktibar, dorongan dan teladan kepada pembaca untuk meneladani dan memperjuangkan setiap perkara baik serta menyempadani setiap perkara buruk sebagai panduan menjalani kehidupan yang mencabar masa kini. Penerbitan buku ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat untuk menjalani kehidupan yang telah dimanahkan ini dengan lebih baik.