Monodrama 3 Negara @ KL Diversecity 2017

Monodrama 3 Negara @ KL Diversecity 2017


3 NEGARA BERPADU DI PENTAS MONODRAMA
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Satu Malam Dua Karya atau 1M2K adalah konsep yang diketengahkan dalam Monodrama 3 Negara yang berlangsung selama tiga (3) malam bermula 15 hingga 17 September 2017. Monodrama yang dipentaskan di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay ini merupakan pengisian Diversecity: Kuala Lumpur International Art Festival 2017 di bawah genre Sastera. Ia melibatkan sutradara dari tiga negara serumpun, iaitu Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia yang pertama kali diadakan bagi meraikan kesejagatan dalam kepelbagaian. Monodrama dari Malaysia dimainkan sendiri oleh Sani Sudin dengan karya Di Bawah Tiang Lampu dan Indonesia diwakili sutradara Ken Zuraida serta pelakon Sinta Debeturu dan Ambadewi Soeroso dengan karya Cemarawungu. Manakala Negara Brunei Darussalam pula diwakili sutradara Zefri Ariff dan pelakon Shafiee Mostar membawa naskhah berjudul Cakra. Integrasi Seni Tiga Negara Monodrama 3 Negara ini dipersembahkan dengan visi meningkatkan perkembangan daya kreatif serta mencetuskan inspirasi masyarakat terhadap apresiasi seni dan budaya. Dengan penyampaian santai dan kreatif, tiga buah karya yang masing-masing berdurasi 30 minit ini turut diselitkan bual bicara yang mengupas naskhah dipentaskan selepas persembahan selesai. Aktiviti ini menggalakkan minat masyarakat khususnya generasi muda bagi mendalami dan lebih memahami seni dan budaya ke arah perkembangan nilai-nilai sepunya serta mengukuhkan jambatan budaya dan sastera tiga negara serumpun ini.