Memperkenalkan Buku Wasatiyyah & Media Sosial

Memperkenalkan Buku Wasatiyyah & Media Sosial


PM RASMI PAMERAN KOMIK DAN BUKU BERKONSEP WASATIYYAH

• PWTC KUALA LUMPUR, 30 November – Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri hari ini menyempurnakan Perasmian Pameran Kartun & Komik: Wasatiyyah & Perjuangan serta Memperkenalkan Buku Wasatiyyah & Media Sosial: Mendepani Cabaran dan Fitnah di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016. Turut mengiringi beliau ialah YB Dato’ Sri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia; Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri; YB Budiman Mohd Zohdi, Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM); Dato' Haji Mohd Yusof Din, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dan Mohd Desa Omar (Juragan), Presiden Kelab Kartunis Malaysia (KKM).

• Pameran Kartun & Komik: Wasatiyyah dan Perjuangan adalah anjuran bersama IWM dan KKM yang kali kedua diadakan di PAU selepas Pameran Air Mata Gaza: Satu Perjuangan pada 2014. Pameran kali ini yang berlangsung hingga 3 Disember 2016 mempamerkan hasil karya terbaik kartunis terkenal tempatan antaranya Datuk Lat, Jaafar Taib, Don, Mishar, Kerengge, dan Mie. Ia secara tidak langsung menyingkap sejarah serta perkembangan komik dan kartun di Malaysia. Menarik di pameran ini yang dikhususkan untuk tatapan perwakilan dan ahli UMNO di PAU 2016, kebanyakan karya kartun dan komik yang dipamerkan terkandung konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Negara.

• Buku Wasatiyyah & Media Sosial: Mendepani Cabaran dan Fitnah terbitan bersama IWM dan ITBM yang turut diperkenalkan oleh Dato’ Sri Najib dalam majlis tersebut merupakan perincian pemikiran beliau menghadapi cabaran gelombang lambakan maklumat yang terkandung unsur fitnah dalam konteks pengurusannya di Malaysia. Dato’ Sri Najib dalam tulisannya mengakui kepentingan dan keefisienan teknologi media sosial dalam urusan seharian masyarakat masa kini. Sehubungan itu, beliau menggariskan strategi dan kaedah yang perlu diterapkan bagi mengelakkan masyarakat berkiblatkan media sosial, sehingga menolak terus prinsip fiqh tabayyun.

• Tan Sri Dr. Abdullah melalui tulisannya “Fiqh Tabayyun: Mendepani Cabaran dan Fitnah Media Sosial” yang turut terkandung dalam buku tersebut melihat dan menganggap keperluan mengajak masyarakat untuk bertabayyun, iaitu berhati-hati dan berteliti dengan media sosial. Beliau berpendapat kaedah ini merupakan usaha dakwah bil hal bagi mencegah masyarakat disogok berita fitnah, hina dan keji sehingga kesucian dan kemurnian agama juga sanggup dipersendakan.

• Buku Wasatiyyah & Media Sosial setebal 47 halaman dijual pada harga RM20.00 senaskhah yang boleh didapati di Pameran Kartun & Komik atau di reruai ITBM sempena berlangsungnya PAU 2016. Pembelian dan maklumat lanjut mengenai buku ini boleh didapati menerusi laman web www.itbm.com.my atau melalui talian WhatsApp 0192219015.