Malam Puisi S.M. Zakir Perjalanan Sang Zaman

Malam Puisi S.M. Zakir Perjalanan Sang Zaman


SIARAN MEDIA | 45 PUISI S.M. ZAKIR DIDEKLAMASIKAN TOKOH PELBAGAI LATAR (19 Mei 2017)

Seramai 18 pemuisi daripada pelbagai latar kerjaya mendeklamasikan puisi Perjalanan Sang Zaman tulisan karyawan S.M. Zakir di Malam Puisi S.M Zakir Perjalanan Sang Zaman - Kurator oleh U-Wei Bin HajiSaari anjuran bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Tanah Licin Sdn. Bhd Galeri Seni Morne dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Acara yang berlangsung bermula hari ini (19 Mei 2017) diadakan di Dewan Wisma ITBM, Kuala Lumpur selama dua malam. Ianya merupakan garapan kedua U-Wei HajiSaari selepas Malam Ratib Kalbu : Sutung Umar RS sebagai apresiasi kepada karyawan Sutung Umar RS. Perjalanan Sang Zaman: Konseptual Insan dan Inspirasi daripada Iqbal Buah tangan U-Wei HajiSaari ini menjadikan buku terbitan ITBM, iaitu Kumpulan Puisi Perjalanan Sang Zaman karya S. M. Zakir yang menampilkan 45 puisi yang tidak mempunyai tajuk namun diberi pengenalan dengan ditulis Perjalanan 1 sehingga Perjalanan 45.

S.M Zakir mengakui beliau mengagumi dan terinspirasi dengan karya penyair Muhammad Iqbal, Javid Namah dengan tumpuan kepada pemikiran insan sempurna. Perjalanan Sang Zaman berusaha mengetengahkan nilai-nilai agama, tradisi dan keperibumian ditindas atas nama prinsip kebebasan dan hak asasi. Karya ini turut membahaskan secara asas tentang prinsip individualiti dengan pertembungan pandangan Barat dan Timur. U-Wei mengangkat karya ini sebagai apresiasi terhadap intelektual sastera S.M Zakir dalam kepengarangan beliau untuk menghasilkan puisi kompleks yang mempunyai keunikan tersendiri ini.

Merungkai Perjalanan Sang Zaman

Acara santai yang dibuka kepada umum ini dimeriahkan dengan pengisian deklamasi bait-bait puisi daripada buku Kumpulan Puisi Perjalanan Sang Zaman oleh Adinda Amiro (Pemuzik), Adiwangsa Sukma (Pentadbir Seni), Budiman Mohd Zohdi (Ahli Parlimen), Johan Jaaffar (tokoh media), Jalaini Abu Hassan (Pelukis), Khalid Salleh (Aktivis Teater), M. Nasir (Komposer/Penyanyi), Melisa Saila (Pelakon/Pengarah), Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Mohd Khair Ngadiron (CEO), Morne Hashim (Pemilik Galeri Seni), Ramzah Dambul (Timbalan Ketua Setiausaha), Rebecca Ilham (Jurutera), Sabri Yunus (Pengarah/Pelakon), Sani Sudin (Pemuzik), Seri Amalina Mohd Khair (Mahasiswa Undang-undang), Yasmin Khairina Mohd Khair (Mahasiswa Ekonomi), dan Zaen Kasturi (Penyair).

Sebelum berlangsungnya acara ini, penganjur telah mengadakan bicara buku pada 15 Mei bagi memberikan gambaran lebih besar mengapa U-Wei memilih Perjalanan Sang Zaman serta S.M Zakir untuk diangkat karyanya dan digarap dengan kesenian visual oleh U-Wei sendiri. Dimoderatorkan oleh Pengarah Urusan ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron, bicara buku ini membariskan penulis dan penyair dua generasi, iaitu Wan Nor Azriq dan Zaen Kasturi, serta U-Wei HajiSaari. Anak kepada Sasterawan Negara Othman Kelantan ini merupakan seorang penulis, penyair, pengkritik yang mula menerbitkan karyanya sekitar awal 90-an ini juga adalah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) 2011 dan Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2010. Kumpulan Puisi Perjalanan Sang Zaman merupakan antara salah satu daripada tiga terbitan kumpulan puisi dan cerpen bersama ITBM yang lain, iaitu Kumpulan Cerpen Bidadari Burung dan Kumpulan Puisi Aroma. Kumpulan Cerpen Bidadari Burung turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk The Bird Nymph. Buku Kumpulan Puisi : Perjalanan Sang Zaman karya S.M Zakir ini dijual dengan harga RM20.00 / RM25.00 (Sabah & Sarawak) melalui www.itbm.com.my, kedai-kedai buku utama negara serta melalui aplikasi WhatsApp 0192219015. ###