Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi untuk Kuala Lumpur & Sambutan Ulang Tahun PENA ke-57

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi untuk Kuala Lumpur & Sambutan Ulang Tahun PENA ke-57


Berpuisi Meraikan Hari Wilayah dan 57 Tahun PENA

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2018 – Berlangsung untuk edisi kali ini, acara MalamBaca Puisi PENA-ITBM-DBP bertemakan “Puisi untuk Kuala Lumpur”  meraikan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari lalu. Acara turut meraikan ulang tahun penubuhan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ke-57 yang jatuh pada 12 Februari akan datang. Acara bulanan anjuran PENA, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) ini diserikan dengan kehadiran Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM serta wakil dari DBP.

Puisi untuk Kuala Lumpur
Tanggal 1 Februari 1974 menyaksikan pemindahan pentadbiran Ibu Kota Kuala Lumpur dari Selangor ke Wilayah Persekutuan. Sejak itu, 1 Februari disambut sebagai Hari Wilayah Persekutuan oleh penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memperingati peristiwa bersejarah tersebut. Sebagai ibu kota negara, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada perkembangan landskap dan penduduknya dari tahun ke tahun. Justeru, tema “Puisi untuk Kuala Lumpur” yang dipilih kali ini adalah satu bentuk apresiasi untuk memanifestasikan pelbagai rasa dan pendapat yang disandarkan pada Kuala Lumpur dalam bentuk deklamasi puisi dan nyanyian.

Dirgahayu PENA 57 Tahun: Melestari Kesusasteraan Tanah Air
PENA sejak 57 tahun lalu merupakan persatuan yang aktif dan komited menjalinkan kerjasama dengan organisasi korporat, kerajaan serta kelompok mandiri dalam melestarikan bidang kesusasteraan negara. PENA juga memainkan peranan proaktif dalam menyatukan penulis tanah air daripada pelbagai peringkat, aliran dan fahaman untuk mengembangkan dunia kesusasteraan Malaysia. Pada malam acara ini juga turut memperlihatkan kesatuan dan kerjasama yang terus terjalin erat antara sasterawan, seniman, penggiat seni dan sastera negara. PENA diharapkan dapat terus utuh sebagai badan dan simbol yang menggerakkan dunia penulisan serta kesusasteraan tanah air.          

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi untuk Kuala Lumpurmembariskan penyair, karyawan dan seniman daripada pelbagai latar belakang dan generasi bagi mewarnai malam tersebut. Acara ini turut dimeriahkan dengan jualan pelbagai judul dan genre buku oleh Kedai Buku Bergerak ITBM, Ujana Buku DBP serta penerbit-penerbit mandiri lain dengan tawaran harga istimewa. Acara ini akan diadakan berterusan sebagai medan pertemuan dan ruang berkongsi pendapat serta menjalin kerjasama untuk pembangunan masa depan bidang kesusasteraan negara.