Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP | Marhaban Ya Ramadan

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP | Marhaban Ya Ramadan


Kuala Lumpur, 2 Jun – Bersempena meraikan keberkatan bulan mulia Ramadan, acara bulanan Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP edisi kali ini mengangkat tema Marhaban Ya Ramadan. Turut mengisi ruang pentas adalah penyampaian sumbangan dan meraikan anak-anak yatim ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Acara ini diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia) dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta keluarga besar ahli PENA serta sasterawan dan penulis tanah air, selain pencinta, peminat dan penggiat sastera tempatan. 

Dalam usaha mengimarahkan bulan mulia ini, pengisian acara dimulakan dengan sesi tazkirah dan diikuti majlis berbuka puasa, solat berjemaah (Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih) serta aktiviti berpuisi bertemakan Marhaban Ya Ramadan. Dalam kesibukan menghimpunkan seberapa banyak ganjaran pahala melalui bulan penuh mulia ini, keselesaan dan kegembiraan golongan yang memerlukan tidak dilupakan. Menerusi majlis ini, sedikit sumbangan disampaikan kepada anak-anak ahli PENA yang telah meninggal dunia antaranya Allahyarham Rahimidin Zahari, Wan Yusof Hassan dan Ustaz Azman Ahmad. Selain menjadi tanggungjawab sosial, sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan ini dapat membawa kegembiraan dan mengukir senyuman kepada mereka yang menerimanya

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP Marhaban Ya Ramadan ini terus konsisten diadakan bagi mengeratkan silaturahim sesama sasterawan dan penulis tempatan terutamanya penulis daripada pelbagai generasi dan latar belakang, serta para penggerak industri penerbitan, penulisan dan kesusasteraan. Majlis yang diadakan secara santai dan terbuka kepada umum ini menjadi medan untuk penulis bersuai kenal, berkongsi pendapat, bertemu penggiat sastera lain, mempromosikan karya serta membina hubungan baik dengan ahli persatuan dan organisasi penerbitan terlibat.

Acara bulanan Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP edisi Ramadan ini menjadi lebih menarik lagi dengan penglibatan penyair dan penggiat sastera mendeklamasikan puisi bukan sahaja berkonsepkan ketuhanan, malah meliputi pelbagai genre puisi lainnya. Ini termasuk persembahan nyanyian lagu puisi, puisi teaterikal dan puisi muzikal serta banyak lagi. Menjadi harapan PENA, ITBM dan DBP agar majlis ini beroleh keberkatan dalam perjuangan memartabatkan bidang penulisan dan kesusasteraan negara. 

# # # # #