Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP | Ketupat & Rendang

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP | Ketupat & Rendang


Malam Baca Puisi “Ketupat & Rendang” Hiasi Kemeriahan Syawal

7 Julai 2017
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bagi meraikan kemeriahan dan kegembiraan Syawal, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP bertemakanKetupat Rendang” pada hari ini bersamaan 13 Syawal 1438H. Majlis seperti lazimnya bertempat di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur ini diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM; Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA, serta wakil DBP.

Mengambil kesempatan dengan keberkatan Syawal bagi merapatkan silaturahim sesama sasterawan dan penulis tempatan, bulan Islam yang terkenal sebagai bulan bermaaf-maafan ini menjadi pemangkin dalam mengeratkan hubungan yang terjalin. Lebih-lebih lagi, Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP yang diadakan pada Jumaat pertama setiap bulan ini menjadi laman untuk komuniti kesusasteraan tempatan berkumpul bersama-sama. Mengambil ruang dan peluang ini, sudah semestinya acara ini mengukuhkan lagi tali silaturahim antara para penulis, rakan penerbit, dan pencinta sastera tempatan.

Selain menjadikan acara berpuisi dengan tema berkaitan Hari Raya Aidilfitri sebagai pengisian utama, acara ini secara tidak langsung menjadi medan untuk beramah mesra, berkongsi pendapat, serta mempromosikan karya sastera tempatan dengan citra tersendiri sambil membina rangkaian hubungan antara penulis, penerbit dan peminat sastera tanpa mengira organisasi, persatuan dan latar belakang.

Turut serta mengadakan jualan buku dalam acara ini adalah Kedai Buku Bergerak ITBM dan Ujana Ilmu (DBP) serta penerbit mandiri yang menawarkan pelbagai judul buku terbitan masing-masing pada harga istimewa. Semestinya acara seumpama ini telah membuka jaringan baharu kepada kelompok penulis pelbagai generasi, serta mewujudkan dan merapatkan hubungan antara penulis, penerbit dan persatuan melalui aktiviti kesusasteraan dalam bersama-sama memartabatkan bidang penulisan dan sastera tempatan.

# # # # #