Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Karya Sasterawan Negara Dato' Dr. Kemala

Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Karya Sasterawan Negara Dato' Dr. Kemala


Dua buah buku terjemahan karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali Kemala dilancarkan hari ini dalam satu majlis sempena meraikan kepengarangan beliau selama lima dekad dalam dunia kesusasteraan Malaysia. Dua judul iaitu, Visiting the Land of Buds dan An Ocean of Wonders: A Collection of 25 Short Stories terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah disempurnakan pelancarannya oleh YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sanggar Tun Sri Lanang, DBP. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM, selaku penerbit buku yang dilancarkan hari ini.

Buku Visiting the Land of Buds merupakan terjemahan daripada Ziarah Tanah Kudup adalah kumpulan puisi dan drama pentas yang mengandungi 75 buah puisi dan sketsa. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, Part One: Visiting Butterflies, Part Two: The Birthplace of a Poet dan Part Three: Buds. Setiap bahagian yang dinyatakan dalam buku tersebut mempunyai falsafahnya tersendiri berdasarkan isi hati Kemala.

Manakala buku An Ocean of Wonders: A Collection of 25 Short Stories yang diterjemahkan daripada Kumpulan 25 Cerpen Pilihan: Laut Takjub merupakan kumpulan cerpen yang menerapkan nilai-nilai sastera Melayu dan semangat kemerdekaan. Kemala dalam buku ini mahukan pembaca memahami dan mengambil iktibar serta merasai perasaan yang beliau terapkan dalam setiap cerita.