Majlis Pelancaran Buku "Mahdzir Khalid Semua Kita Serupa/We Are All The Same"

Majlis Pelancaran Buku "Mahdzir Khalid Semua Kita Serupa/We Are All The Same"


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Sebuah penerbitan terkini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berjudul Mahdzir Khalid: Semua Kita Serupa dilancarkan hari ini oleh YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam satu majlis di Parlimen Malaysia. Buku yang memerihalkan sebahagian jalur kehidupan YB. Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia tulisan Zinitulniza Abdul Kadir ini mengimbas seawal penglibatan Dato’ Seri Mahdzir dalam politik, pengalaman menempuhi ranjau kehidupan sehinggalah kini beliau berada pada posisi sebagai menteri kabinet.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB. Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap Pengerusi ITBM; Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia; Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM; ahli-ahli parlimen dan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Buku ini diterbitkan serentak dalam dua versi bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris dengan judul Mahdzir Khalid: We Are All The Same. Ia mengandungi 17 bab yang memuatkan kisah naik turun, cabaran, suka dan duka kehidupan Dato’ Seri Mahdzir. Kisah beliau ini pastinya menjadi pedoman serta panduan kepada pembaca khususnya golongan muda yang berminat menceburi bidang politik.

Dato’ Seri Mahdzir merupakan pemegang rekod pengetua sekolah paling muda yang pernah dilantik di Malaysia, iaitu pada usia pada usia 29 tahun. Namun antara kisahnya yang tidak pernah dilupakan ialah semasa berlakunya konflik pelantikan beliau sebagai Pengarah Biro Tata Negara (BTN). Beliau turut berkongsi detik-detik dibatalkan pencalonan dua jam sebelum penamaan calon di Bukit Lada pada Pilihan Raya Umum ke-9. Banyak lagi peristiwa jatuh dan bangun beliau yang dikongsikan dalam buku ini dan menjadi bukti bahawa dengan kesungguhan yang tinggi pasti membuahkan kejayaan. Prinsipnya, sungguhpun menanggung malu, beliau tidak sesekali menjadikan semua itu sebagai modal untuk menentang pihak atasannya dan juga partinya.

Ahli Parlimen Padang Terap tersebut turut berkongsi tentang kemahuan, keazaman, dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita demi menjadikan kehidupannya lebih bermakna. Semua ini didokumentasikan dengan harapan ia dapat diteladani pembaca untuk sentiasa berusaha dan komited dengan apa-apa sahaja yang dilakukan.

ITBM mengambil inisiatif menerbitkan buku Mahdzir Khalid: Semua Kita Serupa / Mahdzir Khalid: We Are All The Same dengan tujuan supaya perkongsian oleh tokoh yang berjiwa rakyat ini dapat dijadikan dorongan dan motivasi kepada pembaca untuk meneladani setiap perkara baik dan menyempadani setiap perkara buruk sebagai panduan menjalani kehidupan yang mencabar masa kini.

Buku ini boleh dimiliki dengan harga RM50.00 (RM55.00 untuk Sabah & Sarawak) senaskhah bagi kedua-dua versi bahasa. Pembelian terus boleh dibuat di Kedai Buku ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju atau rangkaian kedai buku utama lain di seluruh negara. Selain itu, buku ini juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.itbm.com.my atau menerusi aplikasi WhatsApp 019-221 9015.