Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Aksara: Laluan Insani

Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Aksara: Laluan Insani


HIMPUNAN PUISI SYED HAMID ALBAR DIBUKUKAN

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sebuah buku himpunan puisi nukilan Syed Hamid Syed Jaafar Albar berjudul Kumpulan Puisi Aksara: Laluan Insani dilancarkan hari ini. Buku terbitan terkini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini disempurnakan pelancarannya oleh Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam satu majlis yang diadakan di Restoran The Castle, Kuala Lumpur. Turut hadir dalam majlis ini adalah Sasterawan Negara Dato’ Seri A. Samad Said; Tan Sri Datuk Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar; Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, selain penggiat sastera dan penulisan tanah air.

Uniknya Kumpulan Puisi Aksara

Kumpulan Puisi Aksara: Laluan Insani menghimpunkan bait-bait puisi yang mengandungi pelbagai subjek melibatkan perkara yang terjadi di sekeliling penulis – daripada persoalan peribadi dan kehidupan masyarakat; ketuhanan; kerakusan manusia dan konflik pergolakan; cinta dan kasih sayang sesama insan; sehinggalah isu politik dan kemanusiaan serantau. Setiap puisi yang terkandung di dalam buku ini dicoretkan berdasarkan sentuhan hati dan jiwa penulis untuk melihat keamanan dan kedamaian dunia tercapai. Melalui buku ini, penulis turut menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat yang diberikan untuk terus berkongsi perasaan melalui nukilan kata untuk menjadi iktibar kepada sekalian pembaca.

Buku setebal 398 halaman ini, ia memuatkan 244 buah puisi yang pada asalnya ditulis secara eceran pada kertas, nota telefon dan iPad serta media sosial, dan kemudiannya dihimpunkan semula menghasilkan buku ini. Menariknya, puisi-puisi tersebut disusun mengikut aksara secara urutan abjad – format pertamanya seumpamanya yang dihasilkan untuk buku puisi terbitan ITBM.

Syed Hamid Albar: Tokoh Pemimpin Berjiwa Rakyat

Tan Sri Datuk Seri Syed Hamid Albar pernah menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1990 hingga 2013. Beliau dilantik menjadi menteri dalam pelbagai kementerian termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1990 – 1995); Menteri Pertahanan (1995 – 1999); Menteri Luar Negeri (1999 – 2008) dan Menteri Dalam Negeri (2008 – 2009). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat bermula daripada penubuhannya pada Jun 2010 sehingga Jun 2017. Beliau sangat dikenali dalam sektor korporat dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di beberapa buah bank dan organisasi.

Selain itu, Dr. Syed Hamid Albar turut aktif terlibat dengan isu-isu kemanusiaan global. Sejak tahun 2012 sehingga kini, beliau merupakan Ahli Majlis Keamanan dan Perdamaian Asia (APRC), selain pernah dilantik menjadi Utusan Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar. Beliau adalah pengasas HUMANITI Malaysia, sebuah NGO yang terlibat dalam aktiviti kemanusiaan di Malaysia dan ASEAN terutamanya Myanmar.

Selain ketokohannya dalam kepimpinan dan aktiviti kemanusiaan, beliau juga aktif melibatkan diri dalam dunia akademik. Kini, beliau bertugas sebagai seorang Profesor Adjung di Asia e University, Kuala Lumpur. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Kehormat di Beijing Jiaotong University, China dan menjadi Felo Pelawat Pengajian Islam di Oxford Centre, sebuah pusat pengajian bebas di Oxford University, Oxford.

Melihat kepada ketokohan beliau, puisi-puisi yang dihasilkan dalam buku ini merupakan hasil pengalaman serta pemerhatian kritikal dan vokal beliau terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya. Beliau juga menukilkan pengalaman dan ilham yang dikutip menerusi pergaulan rapat dengan masyarakat dan individu pelbagai latar belakang sepanjang kerjayanya. Puisi yang dinukilkan sangat mudah difahami, sangat tepat dan kritis serta dekat dengan setiap pembacanya.

Buku ini dijual pada harga RM50.00 senaskhah dan boleh dibeli terus di Kedai Buku ITBM di Seksyen 10, Wangsa Maju. Selain itu, buku ini juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.itbm.com.my atau talian WhatsApp: 0192219015.

# # # # #