Majlis Pelancaran Buku Dasar Buku Negara & TN50 : Satu Perjuangan

Majlis Pelancaran Buku Dasar Buku Negara & TN50 : Satu Perjuangan


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia hari ini melancarkan buku tulisan YB Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berjudul Dasar Buku Negara & TN50: Satu Perjuangan yang Perlu. Buku terbitan Yayasan Harapan Budi dilancarkan dalam satu majlis ringkas di Parlimen Malaysia pagi ini.

Dasar Buku Negara & TN50: Satu Perjuangan yang Perlu tulisan YB Budiman menghimpunkan pelbagai maklumat yang didokumentasikan sebagai rujukan dan panduan ke arah pembangunan Dasar Buku Negara (DBN). Kandungan buku ini memuatkan lapan maklumat dan sumber utama yang membawa kepada perjalanan dan perjuangan memperbaharui Dasar Buku Negara yang diinisiatifkan oleh YB Budiman, iaitu Dasar Buku Negara, Transformasi Nasional 2050 (TN50), Hansard Dewan Rakyat, Siaran Media, Akhbar (merangkumi keratan dan liputan media), Mandat daripada YB Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid, Persidangan Meja Bulat Dasar Buku Negara dan Resolusi. Secara umumnya, buku ini lengkap menghimpunkan segala usaha dan gerak kerja bagi memperbaharui Dasar Buku Negara agar inti pati yang ada ini dijadikan panduan dan sandaran dalam TN50 demi usaha serta matlamat untuk memandaikan akal budi bangsa.

Penerbitan buku ini adalah lanjutan daripada Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 14 Mac 2017 di Dewan Rakyat di mana YB Budiman menjelaskan keperluan untuk memperbaharui Dasar Buku Negara (DBN) yang telah diguna pakai sejak era 1980-an. Beliau turut menyatakan bahawa keperluan pembaharuan DBN ini perlu diberikan perhatian khusus kerana ilmu merupakan asas penting negara dalam menuju sasaran dan aspirasi yang dibawa dalam TN50.

Pelbagai usaha bagi menjayakan pembaharuan DBN telah dilaksanakan, antaranya penganjuran Persidangan Meja Bulat Pembaharuan DBN pada 25 April 2017 yang turut dihadiri disokong oleh 58 wakil penggerak industri buku tanah air dalam kalangan Sasterawan Negara, sektor kerajaan dan swasta, persatuan penulis dan industri buku, penerbit universiti dan swasta serta pekedai buku. Selain itu, YB Budiman juga diberikan tanggungjawab untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pembaharuan DBN oleh Menteri Pendidikan, YB. Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid pada 11 Julai 2017.

Buku ini dijual pada harga RM20.00 senaskhah.