KL LePARK @Kota Buku Merakyatkan Seni Sastera dan Muzik Alternatif

KL LePARK @Kota Buku Merakyatkan Seni Sastera dan Muzik Alternatif


KUALA LUMPUR, 16 September - KL LePark @Kota Buku: Relaks, Litera, Irama... Itu merupakan tiga perkataan yang menggambarkan keseluruhan aktiviti sastera santai yang diadakan di Siar Kaki Parkson Maju Junction Mall, di ibu kota Kuala Lumpur hari ini. Acara yang diadakan sempena Diversecity: Kuala Lumpur Intenational Art Festival 2017 pada sambutan Hari Malaysia ini melibatkan 40 penerbit buku mandiri dan arus perdana, dengan pengisian selama 13 jam persembahan puisi dan muzik pop serta sastera kontemporari, juga termasuk bual bicara intelektual dan drama pentas, menjadi antara pengisian yang akan dihidangkan kepada pengunjung KL LePark pada penganjuran kali kedua ini. KL LePark @Kota Buku anjuran bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) dengan kerjasama Sindiket Soljah dan Paradoks Production, serta disokong oleh Parkson Maju Junction Shopping Mall ini merupakan antara acara pengisian bagi genre SASTERA yang dikuratorkan oleh Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM bagi penganjuran tahun ketiga Diversecity: Kuala Lumpur International Arts Festival. Merakyatkan Seni, Merapatkan Jurang Perbezaan Generasi

Penganjuran pada tahun ini berkonsepkan seni santai bagi menyahut inisiatif merakyatkan seni juga sastea untuk merapatkan jurang antara pelbagai generasi peminat sastera mahupun muzik. Antara pengisian sepanjang satu hari KL LePark @Kota Buku ini adalah deklamasi puisi oleh Ridzuan Harun, Zaen Kasturi, Zakaria Ariffin, Fairul Pujangga, Norazimah Abu Bakar, Attokz Dikulgai, serta Waibibudi & Bebudak Sungai. Selain aktiviti kesusasteraan, turut memeriahkan acara adalah persembahan muzik daripada pemuzik indie tanah air seperti Ronggeng Rocco & Alfian yang merupakan selebriti tular Taranum “Masuk Gaji”; Budak Nakal Hujung Simpang; Wani Ardy dan The Guitar Polygamy; S.O.G; dan Ruhizam Idris (The Weeping Sape). Turut serta dalam acara ini juga pencinta seni sastera generasi muda seperti Farah K, Ashikin M, Petak Daud serta Budi Citawan. Sebagai pengisian bagi menambahkan lagi kemeriahan acara, turut diadakan Stage Reading naskhah terjemahan The Boor karya Anton Cheknov; persembahan oleh SEFA The Mime Artist; dan persembahan unik julung kali dibawakan dalam program seumpama ini, iaitu wind orchestra oleh kumpulan dari Sekolah Sains Selangor. Selain itu, acara santai KL LePark turut diisi dengan slot bual bicara ilmiah dinamakan Sembang Kencang dengan kupasan perbincangan mengenai Trend Membaca: Bagai Bunga Kembang Setaman atau Bakal Di Kuburan Sepi? yang mengetengahkan tiga pemain industri buku dan penerbitan negara, iaitu Encik Mohd Khair Ngadiron mewakili Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Pak Chong mewakili penerbit Gerak Budaya dan Amir Muhammad dari Buku Fixi. Bual bicara ini dikendalikan oleh Saifullizan Yahaya dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai moderator sesi. Sudah semestinya KL LePark @Kota Buku edisi 2017 ini menghimpunkan pelbagai genre seni dengan cara lebih santai dan secara tidak langsung membuka peluang baharu sama ada pendedahan umum mahupun perniagaan kepada artis, penerbit buku alternatif, dan pemain seni tempatan tidak kira marginal mahupun arus perdana. Ini secara tidak langsung membuka jaringan baharu bukan sahaja kepada genre seni itu sendiri, bahkan mampu membuka minda serta perspektif bahawa seni itu bukan suatu elemen yang bosan dan sukar difahami, serta hanya untuk golongan tertentu sahaja.