Inspirasi Ketokohan Za’ba: Itbm Terima 100 Karya Guru Dan Murid

Inspirasi Ketokohan Za’ba: Itbm Terima 100 Karya Guru Dan Murid


INSPIRASI KETOKOHAN ZA’BA: ITBM TERIMA 100 KARYA GURU DAN MURID
----------------------------------------------------------


Kuala Lumpur, 15 Ogos – Insititut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), menerusi Pengurus Besar, Encik Sakri Abdullah hari ini menerima penyerahan manuskrip Program Penulis Inspirasi Za’ba Negeri Sembilan 2017: Pena Celik, Pena Cilik. Penyerahan yang dibuat oleh Puan Jamilah@Chumila Haji Katis, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan (PPANS) turut disaksikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Razi Haji Kail, Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan merangkap Naib Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Dr. Qhamariah Samu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu majlis yang diadakan di Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju.

Acara ini memperlihatkan kerjasama pintar oleh beberapa gabungan agensi seperti Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan (BTPNNS), ITBM, PPANS, yang turut disokong oleh Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan, Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan.
Program yang julung kali diadakan ini sebagai menyahut cabaran yang disarankan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan untuk melahirkan lebih ramai golongan ilmuwan dalam bidang pengkaryaan penulisan kreatif yang semestinya memberikan impak dalam mencerdikkan akal budi serta daya keintelektualan bangsa. Mengambil ketokohan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba, usaha ini bertujuan untuk melahirkan bakat penulis yang diinspirasikan oleh tokoh penulisan anak Negeri Sembilan ini dalam kalangan pelajar mahupun guru.

Langkah Rintis, Inisiatif Berterusan

Manuskrip yang dibahagikan kepada tiga kumpulan ini, iaitu “Karya Guru”, “Karya Murid” serta “Karya Guru dan Murid” menghimpunkan 36 buah cerpen karya guru, 32 cerpen karya murid, serta 32 karya umum guru dan murid. Penghasilan karya kreatif daripada guru dan murid ini adalah satu usaha rintis yang mampu memartabatkan bidang bahasa serta penulisan, juga sebagai langkah mula untuk diusahakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan atau perpustakaan awam kerajaan negeri lainnya. Selain itu, usaha ini dilihat juga mampu untuk melahirkan pelapis generasi penulis baharu agar pengkarya berbakat dapat diketengahkan agar dapat melahirkan sejuta Za’ba moden pada masa akan datang.

ITBM sebagai penerbit manuskrip ini turut memberikan sokongan dan peluang kepada pengkarya guru dan murid ini supaya bukan sahaja manuskrip mereka diterbitkan bahkan disambut dengan sokongan oleh perpustakaan negeri, mahupun sekolah-sekolah untuk pembelian sebagai bahan bacaan tambahan. Penerbitan antologi daripada himpunan manuskrip ini akan dilancarkan pada Hari Anugerah Sastera Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 November 2017 akan datang.